Iklan

Chin Tong nafi bercanggah dengan Dr Mahathir isu jambatan bengkok

Yasmin Ramlan6 years ago18th Oct 2018Berita
Senator liew chin tong 170718 tmiseth 01
Jambatan bengkok Malaysia-Singapura masih dalam peringkat cadangan dan belum ada keputusan dibuat, kata Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Oktober, 2018.
Iklan

KETUA DAP Johor Liew Chin Tong menafikan kenyataan beliau bercanggah dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkenaan projek jambatan bengkok.

Timbalan menteri pertahanan itu sebaliknya menjelaskan cadangan pembinaan jambatan bengkok yang diinspirasikan oleh Dr Mahathir pada 2003 itu masih lagi di peringkat cadangan dan belum ada lagi sebarang keputusan mengenainya.

“Ini cadangan, belum ada keputusan. Itu demokrasi… ada baik kita bincang semua cadangan dan ambil keputusan.

“Ini cadangan kepentingan untuk tambah baik keadaan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Liew berkata projek jambatan bengkok tidak jadi keutamaan, sebaliknya menyokong idea jambatan ketiga untuk menyambungkan Johor dengan Singapura bagi memastikan kelancaran lalu lintas di kedua-dua hala.

Katanya, tumpuan kerajaan adalah untuk menangani kesesakan di Pusat Kuarantin, Imigresen dan Kastam (CIQ) dan pada masa sama mempertimbangkan pembinaan jambatan ketiga.

Awal minggu ini, Menteri Besar Johor Osman Sapian berkata pentadbirannya mahu projek pembinaan jambatan bengkok dihidupkan semula selepas dibatalkan lebih 10 tahun lalu.

Jambatan bengkok merupakan ilham Dr Mahathir sebelum beliau bersara pada 2003, ketika menyandang jawatan perdana menteri pertama kali.

Bagaimanapun, Singapura tidak bersetuju dengan projek itu dan enggan merobohkan tambak yang sedia ada.

Bekas perdana menteri Najib Razak semalam berkata Singapura ada cadangan untuk mengekalkan tambak yang menghubungkan Johor dengan republik itu untuk tempoh 30 tahun lagi.

Katanya, beliau dimaklumkan tentang perkara itu ketika berbincang dengan kerajaan Singapura berkaitan perkara itu ketika masih mentadbir negara.

Najib berkata beliau juga mencadangkan kepada Singapura untuk merobohkan tambak itu bagi membolehkan jambatan baharu dibina. – 18 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan