Iklan

Dr Mahathir nafi rombakan Kabinet

Yasmin Ramlan6 years ago18th Oct 2018Berita
Rmk 11 181018 tmiseth 05
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama ahli Parlimen Pakatan Harapan dan menteri di Parlimen hari ini bagi pembentangan Rancangan Malaysia ke-11. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Oktober, 2018.
Iklan

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan akan ada rombakan Kabinet sebelum akhir tahun ini.

“Tiada rombakan Kabinet,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai khabar angin berhubung perkara itu susulan kenyataan beliau pada bulan lalu, yang tidak berpuas hati dengan jemaah menterinya.

Saya tak tahu lagi. Saya tak boleh ramal masa akan datang,” katanya ketika ditanya sama ada ia akan diadakan pada Disember.

Pengerusi Bersatu itu berkata beliau tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi barisan jemaah menteri sejak dilantik memegang portfolio masing-masing dalam kerajaan baharu.

Dr Mahathir turut membidas tindakan sesetengah pegawai kerajaan yang melambatkan sesuatu keputusan hingga terpaksa ditukar ke jabatan lain demi melicinkan pentadbiran.

Awal September lepas, Dr Mahathir yang jadi perdana menteri untuk kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berkata beliau tidak pernah berpuas hati dengan pencapaian dan prestasi barisan jemaah menteri yang beliau lantik.

Saya tidak pernah berpuas hati. Kalau boleh, apa yang saya hendak (sesuatu yang diarahkan), dibuat kelmarin, bukan hari ini,” katanya.

Beliau ditanya penilaiannya terhadap prestasi jemaah menteri PH pada masa itu selepas mengumumkan kaji selidik mengenai sentimen rakyat Malaysia terhadap kerajaan di Putrajaya.

Dr Mahathir jadi perdana sekali lagi selepas mengetuai PH menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Beliau diangkat sebagai perdana menteri selepas dipersetujui oleh semua empat parti komponen dalam Pakatan dalam muafakat yang juga menamakan Anwar Ibrahim sebagai penggantinya nanti.

Anwar minggu ini kembali ke Dewan Rakyat selepas menang Pilihan Raya Kecil Port Dickson, dalam langkah politik yang akan membuka jalan kepada peralihan kuasa di Putrajaya.

Bakal presiden PKR itu dalam satu wawancara bulan lalu berkata beliau mungkin akan merombak Kabinet Dr Mahathir apabila menggantikannya nanti.

Beliau berkata keputusannya itu nanti akan berdasarkan pada prestasi menteri berkenaan.

“Saya fikir pilihan sentiasa diberikan kepada pemimpin baharu untuk membuat keputusan.

“Saya belum memikirkannya lagi,semuanya bergantung, kerana mereka mempunyai satu setengah tahun untuk membuktikan diri masing-masing. Jika mereka efektif, mereka harus diteruskan.

“Jika mereka biasa-biasa saja atau tidak mempunyai kepakaran atau prestasi mereka lemah, sudah tentu kita perlu semak semula. Ini memang dijangkakan,” katanya dalam wawancara dengan Channel News Asia. – 18 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan