Iklan

Bolehkah capai RMK11 dengan negara berhutang, tanya Tuan Ibrahim

Yasmin Ramlan6 years ago18th Oct 2018Berita
Parliament 151018 tmiseth 07
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pembentangan RMK11 nampak hebat, tetapi realiti kewangan amat merunsingkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 Oktober, 2018.
Iklan

TUAN Ibrahim Tuan Man khuatir dengan kemampuan Putrajaya mahu melaksanakan cadangan pembangunan negara bagi tempoh tiga tahun akan datang sehingga 2020 kerana keadaan kewangan negara yang selalu disebut oleh kerajaan.

Timbalan presiden PAS itu berkata Putrajaya sebelum ini selalu menggembar-gemburkan bahawa keadaan kewangan negara bermasalah, selepas mewarisinya daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Walaupun pembentangan (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia (RMK) ke-11) ini nampak hebat, tapi kita tahu realiti kewangan yang digembar-gemburkan kerajaan.

“Dua tahun dalam tempoh pembentangan, yang saya khuatir ialah sejauh mana kemampuan kewangan yang ada bagi melaksanakan apa yang dibentangkan oleh perdana menteri,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tuan Ibrahim mengulas pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK11 bagi tempoh 2018-2020 yang disampaikan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Dewan Rakyat petang tadi.

Selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, pentadbiran Dr Mahathir mendedahkan hutang Malaysia sudah mencecah lebih RM1 trilion berbanding hanya RM300 bilion sebelum ini.

Tuan Ibrahim berkata pemantauan terhadap perancangan kerajaan perlu dilakukan bagi memastikan ia dilaksanakan.

“Isnin ini kita tengok perbahasan dan kita yakin ada beberapa elemen perlu diberi fokus dalam pembentangan.

“Antaranya soal pembangunan wilayah, hubungan antara negeri dan Persekutuan serta pembangunan asas,” katanya. – 18 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan