Iklan

Sokongan kaum India terus bersama Pakatan, kata penganalisis

Kamles Kumar6 years ago21st Oct 2018Berita
Deepavali 20171012 tmihasnoor 004
Peralihan sokongan komuniti itu terhadap PH semakin kuat sejak pilihan raya umum Mei lalu hingga pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson baru-baru ini kerana kaum India berasa kerajaan baharu mempunyai banyak yang boleh ditawarkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2018.
Iklan

INGINKAN masa depan lebih baik untuk komuniti, bosan dengan ketidakcekapan dan kemarahan MIC terhadap pendirian Umno, adalah alasan mengapa kaum India meninggalkan Barisan Nasional (BN) untuk berpihak kepada Pakatan Harapan (PH), kata para penganalisis.

Peralihan sokongan komuniti itu terhadap PH semakin kuat sejak pilihan raya umum Mei lalu hingga pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson baru-baru ini kerana kaum India berasa kerajaan baharu mempunyai banyak yang boleh ditawarkan.

Tambahan pula, tiada parti dalam gabungan pemerintah yang berperanan memenuhi tanggungjawab terhadap kaum India secara khusus.

Penganalisis politik daripada Kumpulan KRA, Amir Fareed Abdul Rahim berkata terdapat dua faktor “penolak dan penarik” yang mengakibatkan peralihan undi kaum India.

“Faktor ‘tarikan’ paling penting adalah PH, terutamanya melalui PKR, yang menjuarai agenda sosio-ekonomi yang merupakan isu paling dekat dengan pengundi India.

“Lebih-lebih lagi, memandangkan PH berkuasa, menentang parti yang sedang berkuasa boleh menyebabkan peminggiran oleh kerajaan.

“Satu perkara utama adalah menjadi sebahagian daripada masa depan yang lebih adil,” kata Amir kepada The Malaysian Insight.

Amir menambah kegagalan MIC dalam BN menjadi wakil masyarakat sepatutnya juga memantapkan undi India untuk PH.

“Dari segi faktor penolak, kegagalan MIC memenuhi aspirasi komuniti India yang meluas, ketidakupayaan membuat pembaharuan dan kini tidak lagi berkuasa, ia dilihat tidak dapat membantu komuniti secara langsung,” katanya.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) dimenangai PH dengan 83% keluar mengundi dengan undi bukan Melayu-Islam hampir keseluruhannya pergi kepada PH.

Terdapat lebih 1,041,486 pengundi India berdaftar di Semenanjung Malaysia.

Walaupun jumlah keluar mengundi bagi empat pilihan raya kecil selepas PRU14 tidak begitu baik, sokongan India untuk calon PH kekal kukuh.

Pada PRK Port Dickson, calon PH Anwar Ibrahim hampir mendapat sokongan penuh kaum India di kawasan Parlimen itu, berdasarkan sokongan daripada pemimpin dan anggota MIC yang turun padang. – 21 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan