Iklan

Projek pembangunan di Pulau Pinang perlu diteruskan, kata ketua menteri

Looi Sue-Chern6 years ago20th Oct 2018Berita
Parliament chow kon yeow 181018 tmiseth 05
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengakui isu pemantauan menjadi cabaran dalam memastikan pembangunan dijalankan mengikut undang-undang ditetapkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.
Iklan

PEMBANGUNAN perlu diteruskan dengan penekanan terhadap langkah kawalan dan keselamatan yang betul, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Beliau berkata di Malaysia, terdapat undang-undang yang mencukupi untuk mengawal pembangunan; tetapi mengakui pemantauan pembangunan menjadi cabaran pada peringkat pelaksanaan.

“Profesional ada untuk memastikan semua projek diselesaikan dengan selamat. Di kawasan alam sekitar yang sensitif, ada peraturan untuk mengawal pembangunannya.

“Saya rasa ketika kita mahu para jururunding menangani soal keselamatan di tapak pembinaan, pembangunan perlu diteruskan dengan memberi penekanan terhadap kawalan dan langkah yang betul,” katanya pada sidang akhbar pada satu majlis pagi ini.

Chow diminta mengulas mengenai gesaan terhadap kerajaan negeri agar menghentikan semua projek infrastruktur di cerun bukit oleh masyarakat sivil Pulau Pinang, susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Paya Terubong semalam yang mengorbankan nyawa beberapa pekerja asing.

Tanah runtuh berlaku di tapak pembinaan lebuh raya berkembar Paya Terubong. Ia adalah projek Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Selain laluan itu, Pulau Pinang juga bercadang membina beberapa lebuh raya baharu termasuk yang akan melalui kawasan berbukit seperti Jalan Pinggir Pantai Utara di Tanjung Bungah dan Teluk Bahang, serta Lebuh Raya Pan Island Link (PIL-1) yang juga akan mempunyai terowong melalui beberapa bukit.

Mengenai projek jalan raya Paya Terubong, Chow berkata kerajaan akan memastikan projek itu diteruskan selepas Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan memberi lampu hijau.

Beliau berkata pihak majlis bandaraya juga akan memastikan kontraktor berusaha meningkatkan keselamatan di tapak tersebut, sambil menambah para jurutera boleh berada di lokasi untuk memantau lereng bukit dan memastikan ia dibina mengikut piawaian ditetapkan.

Mengenai kumpulan masyarakat sivil yang mendesak kerajaan negeri menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan bagi menyiasat insiden tanah runtuh, Chow berkata ia akan dibincangkan.

“Hasil pemeriksaan visual, kejadian itu berkaitan dengan cerun dan hujan. Siasatan mungkin tidak perlu, tetapi kita akan membincangkannya lagi. Sekiranya perlu, kita akan menubuhkannya.

“Tetapi inkuiri melibatkan proses yang panjang. Sementara itu, kontraktor dan jurutera semua perlu menghantar laporan tentang tanah runtuh,” katanya. – 20 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan