Iklan

Pulau Pinang akan lebih tegas terhadap pemaju, kontraktor gagal ikut peraturan

Looi Sue-Chern6 years ago20th Oct 2018Berita
Zairil khir johari
Exco Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Zairil Khir Johari berkata Pulau Pinang bercadang untuk mencontohi Selangor yang mempunyai kuasa untuk mendenda sehingga RM250,000 terhadap pemaju dan kontraktor yang gagal mematuhi peraturan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2018.
Iklan

KERAJAAN Pulau Pinang sedang merangka undang-udang baharu bagi membolehkan negeri bertindak lebih keras terhadap pemaju dan kontraktor yang gagal mematuhi peraturan berkenaan hakisan tanah dan kawalan pemendapan, kata Exco Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Zairil Khir Johari.

The Star hari ini melaporkan tidak ada satu pun pemaju di Pulau Pinang mematuhi pelan pengurangan hakisan tanah yang dikemukakan bersama permohonan kelulusan projek mereka.

Laporan yang memetik sumber itu berkata kerajaan negeri melancarkan Ops Lumpur selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas bagi memastikan semua majlis tempatan menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan di tapak projek.

“Memang kita ada pasukan petugas yang dikenali sebagai Ops Lumpur yang menjalankan pemeriksaan mengejut. Biasanya, kita akan dapati banyak kontraktor tidak mematuhi pelan hakisan dan kawalan pemendapan mereka,” kata Zairil.

“Antara tindakan yang boleh diambil ialah menghentikan kerja-kerja sehinggalah mereka mematuhinya. Bagaimanapun, saya fikir kita tak cukup tegas,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bungah itu berkata Pulau Pinang bercadang untuk mencontohi Selangor yang mempunyai kuasa untuk mendenda sehingga RM250,000 terhadap pemaju dan kontraktor yang gagal mematuhi peraturan.

“Kita memang perlu lebih tegas dengan mengenakan denda yang lebih berat. Saya fikir yang paling baik ialah mencontohi Selangor,” kata Zairil. – 20 Oktober, 2018.

Berita penuh di sini.      

Iklan
Iklan