PAS mahu runding BN sebelum pindaan Akta 164 ke Dewan Negara
Iklan
PAS akan berbincang dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) bagi mempertimbangkan semula Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164 sebelum dibawa ke Dewan Negara.
Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan berkata, pihaknya akan mengangkat beberapa cadangan terhadap pindaan Akta 164 kepada pihak kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman sebelum ia dibawa ke Dewan Negara demi menjaga kemaslahatan agama dan umatnya.
Pertemuan dengan Menteri, katanya, akan diatur dalam masa terdekat.
Selain itu, susulan penubuhan Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) oleh kerajaan, PAS menyarankan supaya Kluster Pengharmonian Undang-Undang Sivil-Syariah boleh dijadikan platform yang tuntas untuk membincangkan semula isu berbangkit daripada pindaan Akta 164.
Ini bagi membolehkan hak Islam sebagai agama negara terpelihara dan polemik antara agama dan kaum dapat diharmonikan, katanya.
Keanggotaan kluster ini boleh dilibatkan semua pihak yang berkepentingan, katanya.
“Insyaallah, PAS sekali lagi akan menggunakan platform Dewan Negara melalui senatornya untuk mengemukakan gesaan kepada kerajaan supaya meneliti semula secara holistik pindaan Akta 164 agar terlebih dahulu mengambil kira beberapa pandangan yang dikemukakan PAS dan pakar perundangan Islam sebelum ianya dimuktamadkan,” katanya.
PAS juga katanya akan menganjurkan muzakarah perundangan dalam masa terdekat melibatkan alim ulamak, ahli akademik, pakar perundangan, badan Islam dan pihak berkenaan bagi melihat secara lebih terperinci kesan daripada Pindaan Akta 164 ke atas umat Islam dan rakyat keseluruhannya.
Menurut ahli Parlimen Temerloh itu, meskipun pindaan Akta 164 diluluskan di Dewan Rakyat pada 9 Ogos lalu, pertikaian terhadap beberapa perkara masih berlarutan.
Dalam satu tulisannya, AJK PAS Pusat, Ridhuan Mohd Nor mendakwa, kelulusan Akta 164 ini satu tragedi malang buat umat Islam di negara ini.
Ekoran itu, pelbagai pihak mempertikaikan tulisan itu termasuk Amanah dan badan Islam seperti Abim serta pensyarah universiti.
“Tuduhan liar kononnya akta ini menggadaikan Islam dan segala teori konspirasi di sebaliknya adalah tidak berasas malah boleh dianggap keluar dari konteks sebenarnya mengapa akta ini dipinda,” kata Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusof.
Setiausaha Agung Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz dalam kenyataannya berkata, isu pindaan Akta 164 dilihat menjadi tembok yang membuntukan usaha perpaduan dan pembentukan bangsa Malaysia.
“Agak mendukacitakan apabila ramai yang melihat isu (pindaan) ini sebagai ancaman antara satu sama lain dan pandangan tersebut menutup mata kita untuk melihat peluang besar yang terhidang di hadapan iaitu mengangkat agama sebagai medium menyelesaikan krisis dan salah faham,” ujarnya. – 11 Ogos, 2017