Pemilihan PKR bermasalah, kata Azmin
Iklan
JAWATANKUASA pemilihan parti PKR (JPP) perlu menangani penyelewengan dalam pemilihan parti, desak timbalan presiden Azmin Ali hari ini.
Beliau berkata ada banyak aduan dikemukakan termasuk beli undi dan politik wang, pada pemilihan parti yang masih berjalan.
“Semua aduan itu perlu disiasat dengan adil. Bukan saja politik wang tetapi kami dapati ada banyak aduan tentang proses pemilihan.
“JPP perlu bertanggungjawab bagi memastikan proses terbuka yang adil dan saksama,” kata Azmin selepas mengundi di cabang Gombak.
Ini kali kedua Azmin mendesak JPP mengambil tindakan tegas terhadap penyelewengan dalam pemilihan itu.
Azmin juga ragu-ragu dengan sistem e-voting, di mana ia digunakan kali pertama pada pemilihan kali ini.
“Kami membantah sebarang kempen kotor, politik wang atau salah guna kuasa dan kedudukan. Proses JPP perlu terbuka dan telus kerana ini kali pertama kita menggunakan sistem e-voting.
“Ada banyak masalah timbul daripadanya, seperti hari ini,” katanya.
Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi merujuk kepada kelewatan pusat mengundi dibuka susulan ada masalah teknikal terhadap sistem itu.
“Pusat mengundi patut buka jam 10 pagi tetapi tertangguh dengan alasan teknikal. Saya harap ia tidak berlaku lagi. Ini memberikan tanggapan buruk kepada parti,” katanya.
Sementara itu, bakal presiden Anwar Ibrahim berkata parti akan menyiasat dakwaan politik wang dalam pemilihan itu.
Calon jawatan timbalan presiden Rafizi Ramli – yang menentang Azmin bagi jawatan itu berkata beberapa calon membayar RM100 bagi setiap undi perwakilan.
PKR Selangor mengadakan fasa kedua pemilihan parti bagi memilih pemimpin pusat dan bahagian hari ini.
Lebih 83,000 ahli parti akan mengundi di tujuh daripada 22 cabang di negeri ini. – 21 Oktober, 2018.