Ahli PKR bertikam lidah di pusat pemilihan
Iklan
BERLAKU sedikit kekecohan di pusat pengundian bagi pemilihan parti cabang Gombak pagi tadi.
Ahli yang menyokong penyandang Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dilihat bertikam lidah dengan penyokong pencabarnya, Rafizi Ramli.
Kedua-dua pasukan berbaris di luar pusat mengundi di Dewan Seri Siantan pagi tadi sambil mengedarkan “kertas cai”.
Kertas cai biasanya dalam bentuk risalah yang tujuannya untuk mempengaruhi pengundi supaya memilih calon-calon tertentu.
Azmin tiba di dewan pagi tadi untuk membuang undi di kubu kuatnya, Gombak.
Ketika Azmin berada di sana dan selepas beliau beredar, beberapa penyokongnya yang berpakaian merah dan penyokong Rafizi yang berpakaian biru saling berteriakan.
Perbalahan tercetus antara penyokong Azmin dan seorang wanita, dipercayai penyokong Rafizi ketika kertas cai diedarkan.
“Awak tak malu bergaduh dengan perempuan,” kata wanita itu.
Ahli-ahli yang menyamar sebagai pegawai pilihan raya juga dilihat memasuki pusat pengundian untuk mengedarkan kertas cai.
“Mereka pakai baju merah - pasukan keselamatan pun pakai baju merah. Jadi, mereka cuba masuk untuk edar kertas cai. Ini mana boleh, ” kata Ketua Keselamatan PKR Gombak, Wan Ariffin Abdul Wahab.
Wan Ariffin berkata beliau akan membuat aduan kepada jawatankuasa pemandu pemilihan PKR (JPP) PKR selepas pengundian ditutup hari ini.
Selepas membuang undi, Azmin menggesa JPP menyiasat aduan mengenai politik wang dan aktiviti beli undi semasa pemilihan parti.
Jelas menteri hal ehwal ekonomi itu lagi, sistem e-voting yang baru dilaksanakan itu turut menyebabkan kelewatan yang tidak sepatutnya berlaku proses pengundian. – 21 Oktober, 2018.