MCA kena tinggalkan BN, kata Chua Soi Lek
Iklan
MCA perlu tinggalkan Barisan Nasional (BN) untuk menjenamakan semula parti selepas menjadi bahan ketawa rakyat, kata bekas presiden Chua Soi Lek.
Sekiranya masih jadi presiden, Chua berkata beliau akan membawa parti keluar dari gabungan pembangkang yang penuh dengan kontroversi yang membawa kepada kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Kepimpinan sekarang tak dapat tangani masalah. Mereka mengelak isu-isu besar.
“Kenapa kepimpinan MCA tak boleh buat keputusan mudah, terus bersama BN atau tinggalkan saja?
“Kalaulah saya presiden, mula-mula sekali yang saya akan buat ialah tinggalkan BN,” kata Chua ketika menyampaikan ucapan pada pelancaran buku autobiografinya “Like Me or Hate Me: Rising from the Political Ashes”.
Bekas menteri kesihatan itu juga berkata legasi MCA musnah disebabkan kepimpinan sekarang.
“Saya habiskan separuh usia saya dalam parti. Hari ini, kita kecewa dan tawar hati. Zaman gemilang parti kini hanya tinggal bayang-bayang.
“Ini menjadi lawak politik, kita sudah jadi bahan ketawa.”
Chua yang berusia 71 tahun, bersara daripada jawatan tertinggi MCA selepas keputusan teruk parti pada PRU13.
Beliau menggesa MCA supaya menjenamakan semula parti, menjadi lebih berani mengubah kepimpinan dan menjadi parti yang lebih relevan dalam suasana politik hari ini.
Ahli MCA perlu jadikan pemilihan parti tidak lama lagi sebagai peluang ini untuk mengubah kepimpinan, katanya.
“Apa yang diperlukan ialah harapan dan inspirasi dari kepimpinan baharu.
“Kepimpinan yang dipilih pada bulan depa perlu berani. Cakap perkara yang betul dan buat perkara yang betul. Apa yang anda cakap dan lakukan boleh merentasi kaum. Itulah caranya bagaimana MCA akan temui semula harapan.”
Buku autobiografi Chua boleh didapati dalam Bahasa Mandarin dan Bahasa Inggeris. Buku setebal 623 halaman itu memperincikan kerjaya politik beliau termasuk skandal pita seksnya yang kontroversi pada 2008. – 21 Oktober, 2018.