Jumlah sebenar mangsa tanah runtuh Pulau Pinang tidak dapat ditentukan
Iklan
JUMLAH mangsa tanah runtuh di Paya Terubong, Pulau Pinang mungkin lebih daripada jangkaan awal selepas anggota penyelamat hari ini mengeluarkan mayat seorang lelaki yang tidak termasuk dalam senarai mangsa yang hilang.
Mayat lelaki Bangladesh, Mustak Hossain, ditemui sejurus selepas jam 12 tengah hari tadi.
“Lelaki ini bukan dalam senarai kami. Ada kemungkinan besar kita akan jumpa kes macam ini,” kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Saadon Moktar kepada pemberita hari ini.
Saadon berkata identiti lelaki itu disahkan oleh rakan dan semakan pada pasportnya.
“Kami tidak boleh tentukan jumlah sebenar mangsa. Bagaimanapun, ikut senarai, ada empat orang lagi masih hilang.”
Beliau sebelum ini mengesahkan dua lagi mayat dijumpai. Selain Mustak, mayat seorang lagi warga Bangladesh itu dikenali sebagai Mithu Hossain.
“Mereka bukan adik-beradik, tetapi berasal dari kampung yang sama,” kata Saadon.
Menurutnya, kedua-dua mayat ditemui saling bertindih.
“Mereka dijumpai beberapa meter dari kontena yang jatuh dalam tanah runtuh. Kami percaya mereka bukan berada dalam kontena.
“Mungkin mereka sedang lari selamatkan diri semasa kejadian berlaku,” katanya.
Saadon berkata penyelamat sedang membuat persiapan untuk menggali lebih dalam untuk mencari lebih ramai mangsa.
“Dalam kes seperti ini, mereka yang jatuh dulu akan tertanam lebih dalam. Mithu dan Mustak tertanam sedalam 4 meter dalam tanah, lebih dalam daripada mangsa-manga yang dijumapi sebelum ini,” katanya. – 21 Oktober, 2018.