Iklan

DAP 'tong sampah politik', kata Chua Soi Lek

Kamles Kumar6 years ago21st Oct 2018Berita
Dr chua soi lek memoir book launch 20181021 tmiafif 03
Chua Soi Lek berkata orang Cina hanya mahu mengubah kerajaan dan memberi undi kepada DAP supaya kemahuan mereka terlaksana
Iklan

DAP ibarat “tong sampah politik” yang mengutip undi dari orang Cina yang menolak Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata bekas presiden MCA Chua Soi Lek.

Chua yang juga bekas menteri kesihatan berkata orang Cina hanya mahu mengubah kerajaan dan memberi undi kepada DAP supaya kemahuan mereka terlaksana.

“Pertama sekali, apa yang orang Cina mahukan ialah menukar kerajaan. Mereka tidak boleh bertolak ansur lagi dengan BN.

“DAP bertuah, kutip undi mereka. DAP jadi tong sampah politik , kutip undi orang Cina yang tak boleh terima BN, tak boleh terima MCA. Mereka cuma mahu tukar kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran buku autobiografinya bertajuk “Like me or Hate me: Rising from the Political Ashes” hari ini.

Kata beliau, DAP mendapat manfaat disebabkan kegagalan pemimpin MCA sekarang menangani isu-isu seperti skandal 1MDB, Felda dan Mara, yang membimbangkan rakyat sehingga membawa kepada kekalahan BN pada PRU14.

“Sebelum pilihan raya, mereka hanya bercakap mengenai One Road, One Belt di China. Mereka tak cakap mengenai peningkatan kos sara hidup, tak ada siapa pun berani cakap mengenai 1MDB, tak ada seorang pun berani cakap tentang Felda, tak ada yang berani cakap tentang masalah Mara. Sebeb itu rakyat jadi bosan,” kata Chua.

Bekas ahli Parlimen Labis itu berkata MCA perlu keluar dari cengkaman BN supaya dapat bertanding dalam pilihan raya akan datang.

“Umno kena sedar nama BN bukan lagi satu jenama politik. MCA bukan lagi jenama parti politik. Semua parti perlu tinggalkan (gabungan) dan buat perubahan,” kata Chua.

Beliau juga berkata kini hanya menunggu masa sahaja sebelum rakyat mula menilai prestasi kerajaan Pakatan Harapan.

“Sekarang kerajaan sudah bertukar, selepas tempoh bulan madu ini habis, rakyat akan lebih mengkritik. Bagaimana prestasi PH dapat melebihi BN pada tahap seterusnya?” kata Chua sambil mencadangkan MCA bersedia mengambil peluang ketika ini untuk mengkritik prestasi PH. – 21 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan