Iklan

Hishammuddin sedia cari Jho Low hingga ke lubang cacing

Yasmin Ramlan6 years ago22nd Oct 2018Berita
Parliament hishamuddin hussein 221018 tmiseth 03
Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein berkata mahu mencari Jho Low atas kapasitinya sendiri tanpa arahan Umno atau dari Putrajaya ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Oktober, 2018.
Iklan

BEKAS Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussein menawarkan dirinya untuk mengesan ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikaitkan dengan skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas menteri Umno itu berkata beliau akan mencari Jho Low atas kapasitinya sendiri tanpa arahan daripada mana-mana pihak dari partinya atau Putrajaya.

“Saya kena teruskan… Saya tak terikat dengan permintaan dari mana mana pihak. Ini (atas kapasiti) peribadi.

“Daripada dulu lagi saya nak tahu hujung pangkal kebenaran dan penyelesaiannya dalam kes 1MDB. Bukan satu perkara yang mudah, ia cukup kompleks, ” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Kerajaan Malaysia kini menggiatkan usaha mencari jutawan berkenaan, yang kini dipercayai berada di China.

Hishammuddin yang merupakan ahli Parlimen Semberong berkata, usahanya itu akan dilakukan melalui kalangan pimpinan di China yang dikenali sejak menganggotai Kabinet sebelum ini.

“Tak ada kena mengena dengan pertahanan negara (pertolongan Putrajaya) dan seperti hari itu saya dikatakan saya diminta oleh Putrajaya untuk melihat kepada Timur Tengah juga. Sekali lagi, tak benar perkara ini.

“Jadi kita nak tengok daripada kepentingan negara. Dan jika kepentingan negara ini boleh dijadikan aspek penting dalam mencari penyelesaian.

“Kita hanya boleh janji kita buat setakat mana yang kita mampu (berdasarkan) pengalaman yang ada, rangkaian, ada kawan-kawan yang boleh membantu kita cari kebenaran, keadilan untuk negara dan rakyat,” katanya.

Low yang dikehendaki bagi siasatan berhubung penyelewengan dana 1MDB setakat ini masih enggan pulang ke Malaysia.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu juga bertegas untuk tidak menyerah diri kerana bimbang tidak akan mendapat perbicaraan adil.

Bagaimanapun, Hishammuddin berkata Low sewajarnya pulang ke negara ini sekiranya beliau mahu membersihkan namanya.

“Tiada siapa pun di negara ini boleh menafikan yang Jho Low terlibat secara langsung (dalam skandal 1MDB).

“Jika beliau mahu namanya dibersihkan, bekiau perlu kembali (ke Malaysia) dan hadapi apa jua dakwaan di mahkamah. Jika saya boleh tolong (cari), sampai ke lubang cacing saya akan cari,” katanya. 

Penasihat kerajaan Daim Zainuddin pada 13 Oktober lalu mendakwa Low berjaya mengelak daripada pihak berkuasa Malaysia kerana ada tali barut dalam kerajaan yang masih setia kepada pentadbiran terdahulu, Barisan Nasional. – 22 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan