Laluan air tersekat di tapak tanah runtuh di Paya Terubong
Iklan
SUMBER air semula jadi di Bukit Kukus, di mana kejadian tanah runtuh yang mengorbankan nyawa di Paya Terubong, Pulau Pinang berlaku, terhalang akibat kerja pembinaan jalan yang mengabaikan saliran di situ, kata pihak berkuasa.
Datuk Bandar Majlis Bandar raya Pulau Pinang Yew Tung Seang berkata beliau sendiri melihat perkara itu ketika melawat tempat kejadian pada pagi Sabtu, selepas tragedi itu berlaku.
“Saya tidak mahu buat kesimpulan tergesa-gesa sementara siasatan masih dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Tetapi untuk perkara khusus ini, saya mahukan penjelasan. Kita tidak perlukan pakar beritahu yang kita perlu buat aliran laluan air sebelum buat kerja tanah.
“Bagi saya, itu mungkin punca utama tanah runtuh itu, yang menyebabkan beberapa nyawa terkorban,” katanya pada sidang akhbar di Paya Terubong hari ini.
Insiden tanah runtuh berlaku pada Jumaat selepas jam 1 petang. Setakat ini, lapan mayat ditemui sementara empat yang lain cedera, dan semuanya pekerja warga asing.
Yew berkata pada Sabtu, kontraktor diarahkan untuk mengalihkan aliran air, di mana ia kini dipantau sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kami maklumkan Jabatan Mineral dan Geosains pada petang yang sama tentang sumber air itu. Pengarahnya bersetuju dengan kami.”
Beliau berkata kontraktor dan konsultan diarahkan menghantar laporan tentang apa yang berlaku berkaitan sumber air itu.
“Saya masih menunggu jawapan daripada pihak terbabit secara hitam putih. Kami mahu mereka tunjuk sebab bagaimana mereka boleh terlepas pandang keperluan mengalih aliran air itu.
“Kami tidak akan buat spekulasi pada masa ini. Tetapi saya syak masalah itu membawa kepada insiden itu,” katanya.
“Kami kesal dengan apa yang berlaku. Tragedi itu sepatutnya boleh dielakkan.”
Yew berkata majlis menjalankan siasatan dalaman dan beliau mengadakan mesyuarat dengan pihak tertentu berhubung insiden itu.
“Di tapak kejadian, tugas utama sekarang ialah memastikan keselamatan penyelamat,” katanya.
Yew berkata kerja membaiki jalan di Paya Terubong juga perlu dilakukan dan ia membabitkan kejuruteraan langsung.
“Kami masih perlu teruskan projek itu. Kami harap ia dapat siap pada 2020. Ini bukan projek rumit yang memerlukan teknologi tinggi,” katanya. – 22 Oktober, 2018.