Iklan

Umno bincang kedudukan Zahid bulan depan, kata Annuar 

Yasmin Ramlan6 years ago22nd Oct 2018Berita
Annuar musa 240918 tmiseth 05
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata setakat ini kedudukan Zahid tidak dibincangkan kerana ia dianggap tidak memerlukan kesegeraan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2018
Iklan

UMNO dijangka akan membincangkan kedudukan presidennya Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa di mahkamah atas pertuduhan jenayah bulan depan, mengikut peraturan parti yang ada, kata Annuar Musa.

Setiausaha agung Umno itu berkata, setakat ini kedudukan Zahid tidak dibincangkan memandangkan ia dianggap tidak memerlukan kesegeraan.

“Kita kena ikut perlembagaan. Segalanya ada dalam perlembagaan jadi kita akan ikut apa yang ada dalam perlembagaan. Setakat ini belum ada apa-apa keputusan (mengenai kedudukan Zahid),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Umno telah membincangkan mengenai kedudukan Zahid yang berdepan 45 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

Pada masa sama, Annuar berkata Umno tidak mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang menyatakan bahawa ahlinya yang berjawatan tinggi perlu mengambil cuti jika menghadapi tuduhan di mahkamah.

“Kita pembangkang, kita belum ada SOP apabila kita dalam pembangkang. Sewaktu dalam kerajaan, kalau orang kita didakwa, mungkin sesuai pada masa itu, tapi segalanya baru bagi kita sekarang, jadi kita boleh bincang,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan memaklumkan bahawa Umno memiliki SOPsejak 2009 yang memperuntukkan pemimpin kanan yang berhadapan pertuduhan jenayah perlu bercuti daripada jawatannya.

Mohamad sebelum ini berkata Zahid mungkin perlu berehat daripada menjalankan tugas parti, selaras dengan peraturan parti. Perkara itu katanya akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi Umno.

Mohamad merujuk pada ketetapan Majlis Tertinggi Umno pada September 2009  bahawa semua ahli Umno yang menghadapi dakwaan di mahkamah akan digantung daripada jawatan parti serta-merta.

Namun Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman sebelum itu berkata Zahid – dan bekas presiden Umno, Najib Razak – tidak akan digantung jawatan parti, kerana Umno percaya tindakan terhadap mereka bermotifkan politik.

Beberapa pemimpin kanan Umno juga menganggap tindakan mahkamah terhadap Zahid bertujuan untuk terus melemahkan parti itu, yang pertama kali hilang kuasa sejak Merdeka. – 22 Oktober, 2018

Iklan
Iklan