Iklan

Operasi meliputi 80% kawasan tanah runtuh, kata bomba  

Looi Sue-Chern6 years ago22nd Oct 2018Berita
M shoki
Timbalan pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah ketika bercakap pada sidang media berhubung perkembangan operasi mencari dan menyelamat di tapak tanah runtuh Paya Terubong hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2018
Iklan

OPERASI mencari dan menyelamat tragedi tanah runtuh Paya Terubong sudah meliputi 80% kawasan selepas empat hari dijalankan, kata timbalan ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah. 

Unit anjing pengesan dihantar ke lokasi bagi membantu pencarian mangsa di tapak runtuhan, tambahnya. 

“Kita sedang menjalankan pencaran menyeluruh. Kita mencari di setiap inci kawasan runtuhan, menggali hingga ke dasar. Setakat ini sudah 80% kawasan pencarian dibuat,” kata Shoki pada sidang media yang diadakan petang ini. 

“Kita masih lagi mencari dua mangsa, namun kami khuatir mungkin ada ramai lagi, seperti penemuan mayat seorang lelaki, yang tidak dilaporkan hilang semalam. 

“Kami menggesa kepada rakan atau ahli keluarga laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka tahu seseorang hilang dalam kejadian tanah runtuh.”

Shoki berkata mayat warga Indonesia yang dikenali sebagai Subaeri, ditemui tengah hari tadi, tertimbus sedalam 1.9 meter. 

Katanya, anjing pengesan turut menemukan dua ekor kucing mati dalam runtuhan itu. 
 
Tragedi tanah runtuh itu berlaku Jumaat lalu di tapak pembinaan jalan di Paya Terubong, menyebabkan beberapa orang buruh warga asing terbunuh. 

Setakat ini pasukan penyelamat menemui lapan mayat mangsa. Empat yang lain terselamat tanpa sebarang kecederaan. Tiada warga Malaysia dilaporkan terbunuh dalam kejadian itu. – 22 Oktober, 2018

Iklan
Iklan