Iklan

Johor perlukan pemulihan ekonomi bukan pelancar roket

Zulkifli Sulong7 years ago12th Aug 2017Berita
Salahuddin ayub party amanah nagara pc 04
Timbalan Presiden Amanah Salahudin Ayub berkata perdana menteri diminta tidak terburu-buru ingin menjadikan Malaysia sebagai satelit China yang baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2017.
Iklan

JOHOR lebih memerlukan pemulihan ekonomi khasnya mengurangkan kos sara hidup berbanding pelancar roket seperti yang ditawarkan oleh China kepada Malaysia, kata pemimpin Amanah.

Atas alasan itu, Timbalan Presiden Amanah Salahudin Ayub meminta Perdana Menteri Najib Razak menolak tawaran penjualan pelancar roket lebih canggih dan radar dari China itu.

Ini kerana, katanya, jika Malaysia menerima tawaran itu dan meletakkannya di Johor, ia dibimbangi menimbulkan provokasi kepada jirannya Singapura dan sangat tidak sesuai dengan keadaan ekonomi Malaysia yang tidak berapa baik ini.

“Apa keperluan pelancar roket ini ketika ekonomi negara tidak berapa baik dan rakyat dicengkam dengan kenaikan kos sara hidup sekarang ini.

“Rakyat mahukan bantuan kerajaan untuk meringankan bebanan hidup mereka bukan senjata,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata pertimbangan kerajaan Malaysia terhadap tawaran China untuk membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah atau regional counter-intelligence centre di Johor yang turut dilengkapi radar pengawasan dan sistem peluru berpandu sangat dikhuatiri akan mengheret negara ke kancah konflik kuasa besar dunia.

“Tawaran itu momentum negara tembok besar dalam memperkukuhkan pencerobohannya di Laut China Selatan. Laporan Asia Maritime Transparency Initiative menyatakan China hampir menyiapkan lebih 20 struktur bangunan di tujuh pulau buatan di lokasi yang menjadi perebutan di sekitar Laut China Selatan.

“Pulau buatan ini turut dilengkapi sistem pertahanan termasuk senjata anti pesawat, anti peluru berpandu dan pelancar misil jarak jauh,” katanya.

Salahudin berkata pembelian itu dan ditempatkan di Johor pula bakal menimbulkan provokasi kepada negara jiran, Singapura.

“Ini satu provokasi kepada Singapura dan sangat tidak baik kepada negeri kami yang berjiran dengan Singapura ini,” katanya yang berasal dari Johor dan bertanding di Parlimen Kulai dalam pilihan raya lalu.

Salahudin berkata tindakan itu juga bakal mendedahkan negara kepada perlumbaan senjata di rantau ini yang menempatkan tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

“Ia sangat tidak baik dan akan mencabar zon bebas ZOPFAN yang ditandatangani oleh Malaysia dan jiran kita,” katanya.

Perisytiharan ZOPFAN iaitu Zon Keamanan, Kebebasan, dan Keberkecualian itu ditandatangani oleh Menteri Luar bagi lima negara anggota Asean ketika itu di Kuala Lumpur pada 1971.

Di bawah persetujuan itu, semua pihak secara terbuka berikrar mengekalkan Asia Tenggara “bebas daripada sebarang bentuk campur tangan daripada kuasa Luar” dan “meluaskan lagi bidang kerjasama.”

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan China menawarkan Malaysia sistem pelancar roket lebih canggih dan radar berpangkalan di Johor, sekali gus mencerminkan kerjasama meluas dalam bidang pertahanan dan perdagangan di antara kedua-dua negara di rantau Laut China Selatan. – 12 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan