Kasih sayang, kegembiraan dan rasa hormat perlu dalam sistem pendidikan

Iklan
KASIH sayang, kegembiraan dan sifat saling menghormati menjadi tiga nilai teras yang Kementerian Pendidikan mahu integrasikan dalam sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan Maszlee Malik juga berkata kejahilan dalam kalangan pelajar perlu dihapuskan dalam pengintegrasian nilai-nilai ini.
“Kita perlu hapuskan kejahilan kerana ia membuka pintu kepada prasangka, yang menjadi resipi sempurna kepada konflik.
“Kita akan integrasikan melalui nilai-nilai utama dalam pendidikan kita - kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati,” kata Maszlee pada Meet and Greet Menteri Pendidikan bersama pelajar asing di kementeriannya di Putrajaya hari ini.
Tambah beliau, ruang bagi mencipta suasana persefahaman bersama adalah sangat penting kerana “kita hidup di dalam budaya yang pelbagai”.
“Kebanyakan sistem pendidikan tidak menumpukan perkara ini tetapi kita perlu merayu kepada semua orang bahawa pendidikan adalah untuk menyampaikan keamanan,” katanya.
Terdahulu, Maszlee memberitahu pelajar asing dari 29 negara yang melanjutkan pelajaran di tujuh universiti awam dan 20 universiti swasta di Malaysia yang mereka merasai pengalaman terbaik yang ada di negara ini sepanjang berada di sini.
Beliau menggalakkan mereka keluar dari zon selesa dan tinggal bersama keluarga angkat Malaysia supaya merasai pengalaman budaya yang lebih luas.
“Saya beritahu mereka supaya cari keluarga angkat di Malaysia, untuk pastikan pengalaman tinggal di sini sesuatu yang amat bermakna dalam hidup mereka,” katanya. – 22 Oktober, 2018.