Grab bakal hilang pemandu sambilan kerana peraturan baharu
Iklan
GRAB berdepan risiko kehilangan ramai pemandunya sekiranya peraturan baharu dikenakan kerajaan Pakatan Harapan mewujudkan beban kewangan kepada pemandu sambilan.
Alexander Leo Morris yang bekerja sambilan memandu Grab untuk menampung gaji kerja penuh masanya sebagai juruaudit berkata peraturan baharu itu akan membebankan pemandu sambilan kerana mereka terpaksa berbelanja lebih.
“Kebanyakan pemandu sambilan hanya bekerja beberapa jam sehari. Mereka tak untung banyak. Mungkin sekitar RM500 hingga RM800 sebulan jika kerap memandu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Jumlah kos pematuhan untuk setahun boleh cecah ribu, orang akan jadi tak berminat dengan Grab kerana ini,” tambahnya.
Katanya lagi, kos pematuhan peraturan perlu rendah bagi memastikan ia bermanfaat kepada semua pemandu Grab.
“Pemandu sepenuh masa bersetuju (dengan peraturan ini) kerana mereka bekerja ikut kekerapan.
“Untuk pemandu sambilan ia akan menjejaskan kerana mereka bekerja hanya beberapa jam sehari,” kata Alexander yang berusia 27 tahun itu.
Syarikat e-pengangkutan kini perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat atau Suruhanjaya Koperasi dan kenderaan mereka yang berusia lebih tiga tahun perlu diperiksa secara tahunan di bawah sistem baharu itu.
Seorang lagi pemandu sambilan yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad pula berkata syarat pemeriksaan itu hanya membebankan pemandu yang sekarang sudahpun terpaksa bertanggungjawab sepenuhnya secara kewangan kepada kenderaan peribadi mereka.
Buat masa sekarang, lebih 50% kenderaan Grab berusia lebih tiga tahun.
Seorang lagi pemandu sambilan, Liew, pula memberitahu The Malaysian Insight yang jika kos pematuhan terlalu tinggi, ramai mereka yang memandu sambilan akan meninggalkan perkhidmatan itu.
“Inilah peluang untuk kami buat duit lebih, tapi jika ia menyusahkan, baik saya tak memandu lagi,” kata eksekutif kanan itu ketika ditemui di Bangsar.
Seorang jurucakap Grab enggan mendedahkan jumlah sebenar pemandu sambilan yang bekerja dengan syarikat itu, tetapi memberikan anggaran kasar lebih 80% daripada “ratusan ribu” pemandunya adalah sambilan.
Ketua Grab Malaysia Sean Goh dilaporkan berkata wujud pengurangan pendaftaran pemandu baharu kerana peraturan yang baharu diperkenalkan Kementerian Pengangkutan itu.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Ahad mengumumkan yang perkhidmatan e-pengangkutan seperti Grab dihendaki menggunakan kenderaan diluluskan kerajaan dan membayar insuran dan cukai sama seperti syarikat teksi.
Pengumuman itu dibuat selepas sekumpulan 10 pemandu teksi bersikap kurang ajar terhadap Dr Mahathir pada sebuah dialog di Langkawi untuk membincangkan kebimbangan perkhidmatan e-pengangkutan Grab menjejaskan punca pendapatan pemandu teksi.
Kumpulan itu turut keluar dewan ketika Dr Mahathir cuba menjelaskan langkah yang sedang diambil Putrajaya bagi merapatkan jurang persaingan dalam industri pengangkutan demi manfaat pemandu teksi.
Beberapa orang pemandu Grab turut meluahkan kekecewaan kepada tuntutan pemandu teksi, kerana situasi sekarang wujud kerana kualiti perkhidmatan teksi menyebabkan pelanggan mencari alternatif lain.
“Teksi mendominasi ekonomi sebelum ini tetapi mereka salah guna kuasa dengan tak mahu guna meter atau berunding upah dengan penumpang,” kata Yaakob Ahmad yang sudah dua tahun memandu Grab sepenuh masa.
“Kerana itu rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan e-pengangkutan. Sekarang mereka merugut, ini tidak adil untuk kami.” – 23 Oktober, 2018.