Iklan

Siasatan tuntutan GST siap sebelum sesi Parlimen berakhir, kata PAC

Yasmin Ramlan6 years ago23rd Oct 2018Berita
Ronald kiandee pac tmikamal 01
Pengerusi PAC, Ronald Kiandee berkata pihaknya akan membentangkan hasil siasatan tunggakan bayaran balik GST semasa sidang Parlimen kali ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Oktober, 2018.
Iklan

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjangka dapat menyiapkan sepenuhnya siasatan berhubung tunggakan bayaran balik cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebelum sidang Parlimen sesi ini berakhir.

Pengerusinya Ronald Kiandee berkata demikian hari ini selepas PAC mendengar keterangan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah.

“Bayaran balik GST kita harap kita akan simpulkan sebelum akhir sidang Parlimen ini,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata selepas soal siasat saksi dilakukan pihaknya akan membentangkannya ke Parlimen.

Pendengaran itu menyiasat tuntutan sebanyak RM19.4 bilion oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang tidak diluluskan oleh perbendaharaan.

Tambah Ronald, PAC memanggil Irwan hari ini untuk memberi keterangan lanjut mengenai prosiding tersebut.

“Jadi prosiding hari ini singkat dan kita cuma bertanya perkara-perkara yang lanjutan daripada keterangan yang diberi sebelum ini,” katanya.

Selain Irwan, PAC dilaporkan akan memanggil bekas menteri kewangan Najib Razak dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk menjelaskan mengenai prosiding tuntutan tunggakan bayaran itu.

Sesi Parlimen kali ini berakhir pada 11 Disember. – 23 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan