Iklan

PAC kemuka usul buka prosiding siasatan pada umum

Yasmin Ramlan6 years ago23rd Oct 2018Berita
Wong kah woh tmikamal 01
Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media di Parlimen hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Oktober, 2018
Iklan

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengemukakan usul kepada Parlimen bagi membolehkan prosiding jawatankuasa itu untuk diikuti secara terbuka oleh orang ramai. 

Timbalan Pengerusinya Wong Kah Woh berkata buat masa ini, jawatankuasa itu terikat kepada Perkara 85 dalam peraturan mesyuarat Parlimen yang menghalang mereka daripada membuka prosiding itu kepada umum.

“Semalam kita memfailkan usul di Parlimen supaya Aturan 85 itu digantung. Jadi semua prosiding dapat dibuka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Perkara 85 dalam peraturan mesyuarat itu menyatakan, setiap keterangan dalam jawatankuasa atau apa-apa surat tidak boleh disiarkan oleh ahli sebelum dibawa kepada majlis.

Selain itu, Seksyen 9 Akta Hak dan Keistimewaan Parlimen juga menghalang sebarang laporan jawatankuasa atau atau bukti dalam jawatankuasa didedahkan kepada umum, kata Wong.

Namun beliau berkata, ia sewajarnya terbuka kepada orang ramai agar Parlimen Malaysia bertaraf dunia.

Tambah Wong, beliau dan pengerusinya, Ronald Kiandee sedang meneliti agar semua prosiding PAC dapat dibuka kepada umum tanpa menyentuh isu keselamatan.

Antara siasatan jawatankuasa tersebut yang mendapat perhatian dalam penggal ini adalah siasatan semula syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bermula 29 Oktober. 

Antara yang akan dipanggil ke siasatan itu adalah bekas perdana menteri Najib Razak dan ahli perniagaan Low Taek Jho yang pernah bertugas sebagai Penasihat Khas Terengganu Investment Authority (TIA) sebelum ia ditukar kepada 1MDB.

Turut menjadi tumpuan siasatan PAC adalah berhubung dana bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai kira-kira RM18 bilion. – 23 Oktober, 2018

Iklan
Iklan