Iklan

Hishammuddin tidak cari Jho Low untuk larikan diri, kata Nazri

Yasmin Ramlan6 years ago23rd Oct 2018Berita
Iklan

BEKAS menteri Umno Nazri Aziz menepis dakwaan bahawa Hishammuddin Hussein menawarkan untuk mencari ahli perniagaan Jho Low kerana mahu melarikan diri daripada siasatan pihak berkuasa.

Malah ada pihak yang menganggap pujian ke atas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai usaha untuk melarikan dari siasatan pihak berkuasa, kata Nazri.

“Biasalah itu, semalam pun ada yang dakwa saya puji kerja SPRM katanya nak lepaskan diri. 

“(Hishammuddin) tak boleh lari daripada SPRM, sebab kalau kita disiasat, apabila ada bukti kukuh, prima facie, baru boleh dituduh,” kata Nazri

Jelasnya, SPRM tidak boleh membuat pendakwaan di mahkamah ke atas Hishammuddin atau ke atas dirinya sendiri berdasarkan tuduhan di Internet semata-mata.

“Dia (SPRM) tak boleh tuduh macam sekarang ni orang kata berdasarkan daripada internet sekarang, ramai orang kata saya ini korup, rasuah. 

“Berdasarkan apa yang ditulis dalam Internet, ia tak boleh dijadikan sebagai asas mendakwa saya mesti ada bukti yang kukuh,” tambahnya.

Beliau berkata tawaran Hishammuddin untuk mengesan Low wajar kerana banyak pihak mahu tahu mengenai ahli perniagaan itu.

“Baguslah, semua orang nak tahu mana dia… Sebab dia orang utama (dalam kes 1MDB) Jho  Low ini. Saya rasa itu tindakan yang bagus daripada Hisham,” kata Nazri di lobi Parlimen hari ini.

Low dan bapanya, Low Hock Peng, didakwa tanpa kehadiran di mahkamah pada 24 Ogos lalu atas tuduhan berkaitan dana dicuri daripada syarikat 1MDB.

Bagaimanapun ahli perniagaan tersebut masih belum pulang ke tanah air untuk menjalani proses mahkamah dan memberi keterangan kepada pihak berkuasa Malaysia berhubung skandal berkenaan.

Hishammuddin semalam menawarkan dirinya untuk mencarai Low atas kapasitinya sendiri tanpa arahan daripada mana-mana pihak dari partinya atau Putrajaya.

Menurut Hishammuddin, usaha itu akan dilakukan melalui kenalannya di China yang dikenali sewaktu beliau berada di Kabinet ketika pentadbiran Barisan Nasional.

Terdahulu hari ini, Timbalan Menteri Industri Shamsul Iskandar Md Akin mempersoalkan tujuah Hishammuddin menawarkan untuk menjejaki Jho Low.

Katanya, kerajaan wajar mengkaji tujuan di sebalik tawaran itu terlebih dahulu. – 23 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan