Operasi pencarian di tapak tanah runtuh Paya Terubong ditamatkan
Iklan
OPERASI pencarian selama lima hari untuk mencari mangsa tanah runtuh di Paya Terubong, Pulau Pinang ditamatkan hari ini.
Pasukan penyelamat sudah menggali di keseluruhan kawasan berkeluasan 0.9 hektar namun tiada lagi mayat ditemukan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Saadon Moktar mengumumkan operasi itu ditamatkan pada jam 5.35 petang.
“Kami gembira kerana operasi ini berjaya. Tiada anggota yang mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas,” katanya.
Jumlah kematian dalam tragedi itu kekal sembilan orang yang mana kesemuanya adalah warga asing.
Hanya empat orang terselamat dan hanya mengalami kecederaan.
Terdahulu dilaporkan seorang lagi warga Bangladesh hilang namun menurut Saadon, unit anjing pengesan mengesahkan tiada lagi mayat di kawasan runtuhan.
“Kita turut mengorek tanah hingga ke dasar,” katanya.
Polis sebelum ini juga mengesyaki terdapat kemungkinan beberapa individu yang masih hilang melarikan diri kerana tidak memiliki dokumen yang sah.
Saadon juga berkata, bahagian paling sukar dalam operasi itu adalah untuk memastikan keselamatan anggota penyelamat, yang dibantu dengan unit anjing pengesan dari ibu pejabat.
Terdahulu ketika taklimat dengan anggota mencari dan menyelamat pada akhir operasi, Saadon ketua polis daerah Timur Laut Che Zamani Che Awang mengucapkan terima kasih kepada anggota pasukan penyelamat di atas usaha dan kerja keras mereka sepanjang lima hari operasi. – 23 Oktober, 2018