Iklan

Selepas tragedi, penduduk masih mahu projek diteruskan

Looi Sue-Chern6 years ago24th Oct 2018Berita
Landslide-paya-terubong1 (3)
Beberapa tragedi tanah runtuh Pulau Pinang disebabkan faktor keselamatan tidak dipenuhi mencetuskan bantahan banyak pihak. – Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat, 24 Oktober, 2018.
Iklan

WALAUPUN pergerakan masyarakat sivil di Pulau Pinang kini berkeras yang semua pembangunan lereng bukti perlu dihentikan, penduduk negeri itu pula tidak mahukan penghentian sepenuhnya projek berisiko tinggi tetapi ia perlu mematuhi keperluan infrastruktur.

Mereka juga jelas menyatakan yang langkah keselamatan yang lebih baik perlu diambil dan kerajaan negeri menggunakan khidmat kontraktor yang lebih bertanggungjawab.

“Anda tak boleh guna kemalangan sebagai alasan untuk hentikan pembangunan,” kata seorang ahli perniagaan di Paya Terubong yang hanya mahu dikenali sebagai Lim.

Kedainya yang menjual peralatan ibadat di Paya Terubong terletak tidak jauh daripada tapak pembinaan jalan raya Bukit Kukus yang runtuh mengorbankan sembilan pekerja asing.

Tapak pembinaan itu adalah untuk projek jalan berkembar Paya Terubong bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di kawasan tersebut. Jalan sedia ada, Jalan Paya Terubong adalah satu-satunya jalan menghubungkan Air Itam dan Relau bagi penduduk di kawasan yang padat itu.

Lim, 50, sudah tinggal di Paya Terubong sejak 20 tahun lepas, berkata pembangunan penting dan perlu untuk masa depan.

“Semua orang ada pendapat masing-masing. Saya rasa kita perluka pembangunan untuk anak cucu kita. Kita juga akan sengsara jika tiada kemajuan.

“Kami perlukan jalan baharu. Berdekad lamanya kita tinggal dengan hanya satu jalan. Apa sahaja berlaku di jalan, kita terperangkap dalam kesesakan. Tidak ada jalan lain untuk digunakan.

“Jadi kita perlukan pembangunan. Jika tanya saya, jika kerajaan negeri boleh bina kereta api bawah tanah atau sistem landasan keretapi atas tanah ia lebih baik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pulau Pinang berdepan cabaran besar pembangunan disebabkan faktor geografi negeri, tetapi pada masa sama ia perlu terus bergerak maju untuk tingkatkan kualiti kehidupan penduduk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2018.

Ditanya sekiranya beliau bimbang tentang pembinaan jalan raya dan pembangunan lereng bukit selepas tragedi maut itu, Lim berkata tidak ada orang mahukan perkara buruk berlaku.

“Ia bermakna kita perlukan keselamatan yang lebih baik di tapak pembinaan untuk pekerja.”

Lim turut menyentuh desakan supaya projek pembangunan sebegitu dihentikan, berkata kerajaan negeri tidak boleh dengar pandangan semua orang dan puaskan hati semua pihak.

“Kerajaan negeri perlu tegas. Lihat kerajaan Singapura, bagaimana ia buat pembangunan. Jika kerajaan negeri dengar cakap semua orang, semua benda tak boleh buat.”

Tambahnya, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, sudah wujud perubahan positif di Paya Terubong sejak 2008.

Seorang lagi penduduk kawasan itu yang berusia sekitar 70-an pula yang hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata pembinaan jalan raya itu perlu diteruskan.

“Kerajaan perlu memastikan langkah keselamatan diambil. Mereka perlu pastikan mereka lantik kontraktor yang baik dan bertanggungjawab.”

Seorang wanita yang juga mahu dikenali sebagai Tan yang tinggal di Paya Terubong bagaimanapun meluahkan kebimbangan tentang projek pembangunan lereng bukit.

“Sudah pasti ia membimbangkan jika ia melibatkan bukit, terutama ketika musim hujan,” katanya yang sudah tinggal di kawasan itu berdekad lamanya.

Beliau yang berusia dalam lingkungan 50-an berkata pernah ada batu besar yang bergolek turun dari bukit itu lama dahulu tetapi tidak ada siapa yang cedera.

Walaupun wujud desakan pelbagai kumpulan yang mahu Pulau Pinang menghentikan pembangunan lereng bukit, penduduk negeri itu mahu ia diteruskan tetapi kualiti keselamatan perlu ditingkatkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2018.

Madam Chen yang tinggal di Taman Seri Rambai di Paya Terubong pula lantang menentang pembangunan lereng bukit. Di belakang kawasan kejiranannya, ada bukit yang ditarah untuk pembinaan apartmen.

“Apartmen itu tingginya lebih kurang 40 tingkat. Mereka tarah banyak sangat lereng dan biarkan terdedah lama sebelum tutup dengan plastik.

“Ada lumpur yang masuk ke dalam rumah penduduk. Ada pemilik rumah jumpa plastik (yang digunakan untuk menutup kawasan ditarah) atas bumbung rumahnya,” katanya yang berusia 60-an itu.

Chen berkata beliau sentiasa bimbang kerana pembinaan itu berlaku sangat hampir dengan rumahnya.

“Saya tak kata pembangunan tak baik tetapi pemaju tak boleh hanya fikir untung mereka dan tak peduli orangh lain. Jika mereka buat kerja dengan betul, rakyat tak akan risau atau marah.”

Menyentuh mengenai tanah runtuh Bukit Kukus, Chen berkata beliau bersimpati kepada mangsa dan keluarga mereka.

“Sejak bertahun di Pulau Pinang, kami tak pernah dengar tentang tanah runtuh yang bunuh orang. Hanya sekarang (berlaku),” katanya.

Pada Oktober tahun lepas, tanah runtuh yang berlaku di tapak pembinaan kondominium di Tanjung Bungah membunuh 12 pekerja termasuk seorang penyelia tapak warga Malaysia.

Sejak tragedi tanah runtuh yang meragut nyawa minggu lepas, beberapa organisasi bukan kerajaan seperti Penang Forum, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia cawangan Pulau Pinang sudah mendesak kerajaan negeri menghentikan sepenuhnya projek pembangunan lereng bukit. Ramai juga penduduk negeri yang mahu suruhanjaya siasatan ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Datuk Bandar Majlis Bandar Raya Pulau Pinang Yew Tung Seang berkata pembangunan dan projek jalan alternatif Paya Terubong akan diteruskan.

Arahan penghentian kerja terhadap projek tersebut sudah dikeluarkan beberapa hari sebelum tanah runtuh berlaku selepas berlaku runtuhan jentera di salah sebuah kawasan pembinaan.

Semalam, Chow berkata majlis bandar raya akan memastikan projek tersebut diteruskan dengan prosedur keselamatan ketat dipatuhi sebaik sahaja arahan henti kerja dibatalkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

“Terpulang kepada DOSH untuk menentukan bila arahan itu akan dibatalkan. Apabila ia berlaku, jurutera projek akan meneliti semula reka bentuk dan membuat perubahan yang perlu.

“Kami tak risau jika projek itu lambat disiapkan beberapa bulan. Jalan itu perlu selamat digunakan,” kata ketua menteri. – 24 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan