Iklan

Putrajaya dedah bukti Kelantan mohon RM97 juta untuk bayar gaji

Yasmin Ramlan6 years ago24th Oct 2018Berita
Lim guan eng tmikamal 01
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri Kelantan memohon wang pendahuluan sebanyak RM97 juta sehingga Jun tahun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Oktober, 2018.
Iklan

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan bukti bahawa kerajaan Kelantan memohon wang pendahuluan sebanyak RM97 juta sehingga Jun tahun ini.

Lim berkata daripada jumlah tersebut RM24.5 juta dipohon untuk bantuan bayaran gaji kakitangan yang tertunggak untuk sebulan serta bayaran untuk bil melebihi tempoh 14 hari.

Bagaimanapun, hanya RM22.5 juta yang diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membolehkan kerajaan negeri membayar gaji tertunggak.

“Ini untuk gaji jadi cepat diberikan dulu. Nak lihat adakah ia digunakan dengan baik. Kalau bagi siapa-siapa yang minta, itu bukan belanjawan yang jimat.

“Kita bagi apa yang perlu dulu untuk kakitangan kerajaan negeri. Baru ini mereka buat permohonan semula,” katanya kepada media di bangunan Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata demikian sambil menunjukkan surat permohonan wang pendahuluan tersebut dari Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan.

“(Saya) hendak tunjukkan fakta ini. Ada permohonan dari Kelantan untuk minta pinjaman wang pendahuluan sebab sebut bahawa sekiranya tak dapat, tak mampu bayar gaji akan edarkan pada semua.

“Ini akan sebabkan Kelantan kepada kelewatan gaji kakitangan yang dia (kerajaan negeri) pohon RM24.5 juta, yang diluluskan RM22.5 juta,” katanya.

Lim turut mempertikaikan mengapa dirinya dijadikan sasaran ketika menjadi menteri kewangan berbanding sewaktu bekas perdana menteri Najib Razak memegang jawatan tersebut.

“Soalannya ialah mengapa tidak ada reaksi sebegitu kuat dan keras oleh barisan kepimpinan PAS ketika mantan perdana menteri Najib mendedahkan kepada umum pada 28 Januari, 2018 bahawa kerajaan Kelantan terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri Kelantan.

“Sebaliknya, bila saya sebagai menteri kewangan buat kenyataan yang sama, barisan kepimpinan PAS memainkan sentimen begitu mengapi-apikan dan membuat fitnah jahat bahawa saya berdendam dengan PAS.

“Sedangkan saya hanya menyatakan hakikat bahawa Kelantan adalah sebuah negeri yang gagal dari segi urusan ekonomi kerana tidak mampu membayar gaji kepada ahli pentadbiran kerajaan,” katanya. – 24 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan