Kami tak minta sedekah, kata Hadi kepada Putrajaya
Iklan
KERAJAAN Kelantan tidak meminta “sedekah” dari Putrajaya sebaliknya menuntut hak kerajaan pimpinan PAS itu, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Hadi berkata dengan meminta RM97 juta dari Putrajaya untuk menyelesaikan tunggakan gaji penjawat awam dan bil, kerajaan negeri hanya menuntut apa yang sepatutnya diberikan kerajaan persekutuan kepada negeri.
“Ini adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan. Dalam konsep persekutuan, kita perlu faham yang Kelantan sebahagian daripadanya.
“Kelantan bayar cukai seperti cukai jalan, untuk pakaian dan makanan. Semua cukai ini dikutip oleh Jabatan Kastam yang kemudiannya diambil kerajaan persekutuan.
“Ini tanggungjawab kita. Kita bukan minta sedekah,” kata Hadi kepada wartawan di Parlimen hari ini.
Beliau mengulas kenyataan terdahulu Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa Kelantan meminta Rm97 juta pada Jun lalu daripada kerajaan Pakatan Harapan.
Sejumlah RM24.5 juta diperlukan untuk membayar tunggakan gaji penjawat awam dan bil yang sudah lebih tempoh bayaran 14 hari. Bagaimanapun, kerajaan hanya meluluskan RM22.5 juta.
Hadi menambah yang kerajaan Kelantan pimpin PAS akan terus kekal walaupun kerajaan persekutuan tidak memberikan dana.
“Semua kerajaan negeri ada hutang, bukan kami sahaja. Kami sedang menyelesaikan hutang kami sejak 28 tahun lalu dan kami akan tanganinya sekarang.
“Saya tak fikir Pulau Pinang mampu buat benda sama,” katanya menyindir Lim yang merupakan ketua menteri Pulau Pinang selama dua penggal.
Menyentuh kelewatan bayaran itu, Hadi menjelaskan yang kelewatan wujud sejak pentadbiran Barisan Nasional dan ia sudah diselesaikan.
“Mereka (BN) sengaja lewatkan (bayaran)…jadi kerajaan Kelantan tak bayar gaji. Tetapi isu itu sudah diselesaikan.”
Wakil rakyat Marang itu turut menambah yang Putrajaya juga perlu memulangkan royalti minyak kepada Kelantan dan bukan hanya untuk Sabah dan Sarawak.
“Kelantan juga layak dapat royalti. Jangan bayar Sabah dan Sarawak sahaja,” katanya.
Hari ini, Lim menunjukkan salinan surat permohonan wang daripada Perbendaharaan Kelantan. Surat itu menyatakan jika wang tidak diluluskan, kerajaan negeri tidak akan mampu membayar gaji semua pekerjanya.
Semalam Lim enggan menarik balik kenyataannya yang Kelantan kekurangan duit untuk membayar gaji penjawat awamnya.
Lim berkata pada 2016, Putrajaya memberikan RM398 juta dalam bentuk geran kepada Kelantan, daripada jumlah itu RM59.9 juta adalah “geran defisit” untuk membantu negeri Pantai Timur itu menampung perbelanjaannya termasuklah emolumen kepada penjawat awamnya.
Putrajaya juga meminjamkan RM100 juta untuk menampung perbelanjaan kerajaan negeri dan setakat 31 Disember, Kelantan belum lagi membayar pendahuluan pinjaman sebanyak RM388 juta, menjadikan ia negeri yang paling banyak berhutang dengan kerajaan persekutuan. – 24 Oktober, 2018.