Iklan

PAC mungkin panggil semula Najib

Yasmin Ramlan6 years ago24th Oct 2018Berita
Najib razak macc corruption sessions court 01
PAC akan memanggil semula bekas perdana menteri Najib Razak jika perlu, berhubung isu pembayaran balik GST yang hilang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2018.
Iklan

JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil semula Najib Razak sekiranya perlu bagi memberi keterangan lagi berhubung pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaporkan hilang.

Pengerusi PAC Ronald Kiandee berkata bekas menteri kewangan itu memberi keterangan kira-kira sejam hari ini merangkumi perjalanan aliran kewangan kerajaan dan pungutan daripada GST.

“Pada hari ini kita tak boleh katakan (akan panggil semula) dan kita akan rujuk kembali sama ada keperluan dan kita akan buat panggilan semula.

“Jadi kita ikut keperluan (untuk panggil semula Najib) jika ada keperluan kita mungkin akan panggil semula,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat PAC.

Ronald berkata soalan yang diajukan kepada ahli Parlimen Pekan itu berpandukan terma rujukan jawatankuasa tersebut.

“Kesemua ini kita masukkan di dalam laporan kita yang akan dibentangkan di dalam Parlimen setelah kita menutup prosiding yang kita ada,” katanya.

Setakat ini, maklumat yang ingin diperoleh berhubung kes berkenaan sudah lengkap.

“Setakat hari ini, saya merasakan maklumat yang kita nak dapat dan juga testimoni yang kita nak dapat sempurna dah,” katanya.

Bagaimanapun, pihaknya berkata beliau tidak dapat mendedahkan maklumat terperinci berhubung keterangan itu.

Beliau berkata selepas ini PAC akan memanggil saksi terakhir dalam isu pemulangan dana GST iaitu Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Jawatankuasa itu semalam mendengar keterangan daripada bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah.

PAC menjangkakan tuntutan tunggakan bayaran GST berjumlah RM19.4 bilion dapat disiapkan sepenuhnya sebelum berakhir sidang Parlimen sesi ini iaitu pada 11 Disember. – 24 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan