Iklan

Pendengaran PAC harus tertutup kecuali perkara umum, kata speaker

Kamles Kumar6 years ago24th Oct 2018Berita
Mohammad ariff speaker tmikamal 01
Peraturan Mesyuarat Parlimen harus terlebih dahulu dipinda jika mahu dibuat terbuka kepada umum, kata Mohamad Ariff Yusof. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Oktober, 2018.
Iklan

PENDENGARAN Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mesti kekal tertutup kecuali pendengaran berhubung isu kontroversi yang memerlukan perhatian umum, kata Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Yusof.

“Saya lebih cenderung memikirkan lebih baik mempunyai pendengaran tertutup tetapi ada pengecualian,” beliau memberitahu pemberita hari ini.

Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh semalam berkata jawatankuasa tersebut akan memfailkan usul untuk menggantung peraturan yang menghalangnya mengadakan perbicaraan terbuka kepada umum.

Bagaimanapun, Ariff berkata untuk perkara itu berlaku, Peraturan Mesyuarat Parlimen harus terlebih dahulu dipinda.

Bagi perkara kontroversi pula, laporan masih diperlukan untuk diserah kepada Parlimen terlebih dahulu, tambah beliau.

“Kita masih ada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) yang mempunyai peruntukan yang cenderung untuk membataskan pendengaran awam.

“Sehingga laporan itu dibentangkan, maka bukti yang didengar di depan jawatankuasa masih lagi sulit,” katanya.

PAC hari ini memanggil bekas perdana menteri Najib Razak berhubung pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion yang dilaporkan hilang semasa pentadbirannya.

Pengerusi PAC Ronald Kiandee tidak menolak kemungkinan Najib yang juga bekas menteri kewangan akan dipanggil semula. – 24 Oktober, 2018.        

Iklan
Iklan