Iklan

Penipuan dalam pemilihan PKR bukti kelemahan e-voting, kata Azmin

Yasmin Ramlan6 years ago24th Oct 2018Berita
Azmin ali tmikamal 02
Banyak kes dibangkitkan ahli peringkat akar umbi, sehingga muncul aduan dalam bentuk deklarasi berkanun, kata Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 24 Oktober, 2018.
Iklan

MASALAH penipuan dan juga gangguan talian adalah perkara serius yang membuktikan kelemahan sistem e-voting, kata Timbalan Presidennya Mohamed Azmin Ali.

Azmin berkata banyak kes yang dibangkitkan oleh ahli peringkat akar umbi, sehingga muncul aduan dalam bentuk deklarasi berkanun.

“Anda tidak menafikan hakikat yang terdapat banyak aduan di kalangan akar umbi dan baru-baru ini, (ahli di) Sarawak telah mengeluarkan deklarasi berkanun untuk menunjukkan betapa seriusnya  penipuan ini.

“Terdapat banyak peristiwa pada tiga hingga empat minggu lalu di mana mereka mengadu bahawa internet tidak stabil. Kemudian undi pula hilang, malahan di cabang saya di Gombak,” katanya.

Azmin menyatakan perkara itu di lobi Parlimen hari ini selepas jawatankuasa aduan, rayuan dan disiplin parti menerbitkan laporan mereka berhubung aduan yang timbul dalam proses pemilihan.

Dalam laporan itu, jawatankuasa itu menyatakan tiga ahli Parlimen PKR, termasuk seorang menteri, Dr Xavier Jayakumar, dikenakan amaran susulan aduan ahli.

Dua lagi ahli Parlimen yang diberikan amaran adalah Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Johor Baru) dan June Leow Hsian Hui (Hulu Selangor).

Pemilihan di cabang Gombak minggu lalu dicemari kekecohan termasuk membabitkan kejadian memukul sesama anggota susulan tindakan beberapa anggota parti berkempen di dalam pusat pengundian.

Pemilihan di beberapa cabang di Selangor turut mengalami kekecohan berikutan dakwaan kehadiran pengundi hantu selain pertembungan penyokong calon-calon bertanding sehingga menimbulkan ketegangan.

“Bagaimana anda dapat jelaskan bila anda menghasilkan kod bar QR hampir 1,700 tapi keputusannya tidak sama. Ada yang tak kena,” katanya.

Oleh itu katanya, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR tidak boleh memandang ringan dan satu siasatan yang adil perlu dijalankan.

“Itu tuntutan dari ahli-ahli dan JPP tidak patut mendapat arahan daripada mana-mana pemimpin,” katanya.

“Mereka harus bebas dan mengendalikan pemilihan yang bebas dan adil.”

Pemilihan PKR kali ini menyaksikan pertama kali pengundian dibuat secara dalam talian menerusi e-voting bagi melancarkan dan mempercepatkan proses mengundi membabitkan lebih 800,000 anggota parti itu di seluruh negara. – 24 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan