Iklan

Kontraktor kejadian tanah runtuh Tanjung Bungah didenda RM35,000

Looi Sue-Chern6 years ago24th Oct 2018Berita
Tanjung bungah landslide
Kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lengkok Lembah Permai pada 21 Oktober tahun lalu menyebabkan 11 pekerja terbunuh.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2018
Iklan

KONTRAKTOR utama projek apartmen di Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang mengalami tanah runtuh menyebabkan 11 pekerja terbunuh tahun lalu, didenda RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen George Town hari ini kerana gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya di tapak pembinaan itu. 

Kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Lengkok Lembah Permai pada 21 Oktober tahun lalu menyebabkan 10 pekerja warga asing dan seorang penyelia tapak projek warga Malaysia terbunuh. 

Dalam satu kenyataan hari ini Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Pulau Pinang berkata syarikat terbabit Choongcons (Penang) Sdn Bhd mengaku bersalah di bawah Seksyen 15(2) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994. 

Undang-undang menyatakan bahawa majikan mesti membuat perkiraan untuk memastikan setakat yang dapat dilaksanakan, keselamatan dan ketiadaan risiko kepada kesihatan berkaitan dengan penggunaan atau operasi, pengendalian, penyimpanan dan pengangkutan loji dan bahan.

Kesalahan itu membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

Hakim Wan Azimah Yaacob, yang membuat keputusan itu hari ini, mengarahkan syarikat membayar denda atau menghadapi dua bulan penjara.

Pendakwaan dikendalikan oleh R. Buvaneswaran dan Muhd Noor Azmil Muhamad Fishol.

Kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah berlaku hampir setahun sebelum kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus, Paya Terubong Jumaat lalu, yang mana sembilan pekerja warga asing maut. – 24 Oktober, 2018

Iklan
Iklan