Iklan

Jerayawara Zahid untuk kukuhkan sokongan, kata penganalisis

Looi Sue-Chern6 years ago25th Oct 2018Berita
Ahmad zahid hamidi macc corruption court 07  full
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berdepan 45 pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM114.15 juta. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2018.
Iklan

JERAYAWARA Ahmad Zahid Hamidi yang bermula di Kuala Terengganu esok akan digunakan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai presiden parti ketika terdapat gesaan beliau meletakkan jawatan sehingga pertuduhan terhadapnya dibersihkan, kata penganalisis.

Bekas timbalan perdana menteri yang dipilih sebagai presiden Umno pada 30 Jun lalu mungkin perlu mempertahankan jawatannya sebagai ketua Umno selepas didakwa minggu lalu dengan 45 pertuduhan pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan RM114.15 juta .

“Beliau mungkin perlu mempertahankan jawatan presidennya, supaya tidak akan ada lagi gesaan untuknya turun,” kata Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Selepas didakwa, beberapa pemimpin Umno Johor menggesa parti itu menggantung tugas Zahid walaupun ahli majlis tertinggi parti Tajuddin Abdul Rahman berkata Umno tidak mempunyai rancangan sedemikian kerana tindakan terhadap presiden itu didakwa bermotifkan politik.

Pada Sabtu, Pengerusi Majlis PenasihatUmno Tengku Razaleigh Hamzah berkata mereka akan bermesyuarat untuk membincangkan kedudukan Zahid.
Beliau juga berkata konvensyen parti menentukan yang seorang pemimpin parti mesti perlu direhatjan jika dituduh melakukan jenayah.

Zahid terkejut ketika pemberita di Parlimen bertanya pada Selasa sama ada beliau akan berehat daripada tugasnya. Ahli Parlimen Bagan Datuk membalas: “Apa hak anda bertanyakan soalan ini?”

Pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata semangat dalam Umno kini lemah dan sebarang ketidakpastian mengenai kepimpinan dapat melemahkan parti utama dalam Barisan Nasional itu.

Beliau berkata adalah perlu bagi kepimpinan memberi keyakinan yang Umno masih berjuang untuk hak dan keistimewaan orang Melayu, iaitu ahli-ahlinya sendiri.

“Penjelasan Zahid mengenai 45 dakwaan terhadapnya boleh ‘membersihkan’ nama beliau dan menguatkan jentera parti,” kata Tunku Mohar kepada The Malaysian Insight.

Para penganalisis berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi jelas perlu mempertahankan dirinya dan menegaskan beliau tidak melakukan apa-apa jenayah, semasa jerayawaranya kepada ahli parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2018.

Beliau berkata Zahid perlu mengambil langkah ini, dan sebahagian daripada sebab mengapa beliau tidak boleh mengulang kesilapan Najib Razak sebelum ini.

Ketika skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pertama terbongkar, bekas presiden Umno, Najib yang merupakan perdana menteri dan pengerusi lembaga penasihat dana kekayaan itu, tidak banyak memberi penjelasan dengan segera, apalagi mengadakan jerayawara untuk berbincang dengan akar umbi Umno mengenainya.

“Jerayawara Zahid juga kerana (beliau dan Umno) tidak dapat lagi mengawal media seperti dahulu. Pada masa lalu ketika berada di dalam kerajaan, mereka mempunyai kelebihan itu,” kata Tunku Mohar.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan Profesor Mohammad Redzuan Othman juga berkata Zahid jelas perlu mempertahankan dirinya dan menegaskan yang beliau tidak melakukan apa-apa jenayah, semasa jerayawaranya.

“Beliau mahu menunjukkan yang beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, dan semua yang dilakukannya adalah untuk kebaikan,” kata Redzuan.

Beberapa tuduhan Zahid dikaitkan dengan yayasan kebajikan kepunyaan keluarganya, yang membina sekolah agama, masjid dan rumah anak yatim.

Beliau berdepan 10 tuduhan pecah amanah yang melibatkan dana hampir RM20.83 juta milik Yayasan Akal Budi dan merupakan pemegang amanah.

Mengenai sama ada jerayawara itu akan memihak kepada Zahid, Tunku Mohar berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai bagaimana Umno bertindak balas terhadapnya.

“Ramai ahli Umno kehilangan semangatnya. Tetapi dalam mana-mana parti, terdapat kumpulan teras yang akan menyokong kepimpinan walau apa pun terjadi. Harapan Zahid terletak kepada mengukuhkan kumpulan teras ini.

“Golongan akar umbi di cawangan secara tradisi adalah penyokong kuat parti. Tetapi orang-orang dari cawangan di kawasan bandar tidak selalunya menjadi penyokong tegar presiden.”

Ditanya sama ada terdapat sebarang signifikan di Kuala Terengganu yang menjadi hentian pertama Zahid, Tunku Mohar berkata beliau hanya dapat membuat spekulasi yang pemimpin itu mahu lebih dekat dengan Umno Terengganu.

“Beliau juga boleh bertemu dengan (Presiden PAS) Abdul Hadi (Awang) dan kepimpinan PAS untuk mungkin mendapat simpati dan membina kerjasama dengan parti Islam itu.”

Azizuddin, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, berkata ia masih terlalu awal untuk meramalkan sama ada jerayawara itu akan berjaya.

“Kita belum tahu lagi bagaimana beliau akan menjelaskan 45 tuduhannya. Kes mahkamahnya juga baru dan belum dibicarakan lagi.

“Ia juga terpulang kepada akar umbi Umno sama ada mereka mempercayai dan menerima penerangannya atau tidak. Masih terlalu awal untuk mengatakan sama ada jerayawara itu akan berjaya,” katanya.

Jelajah Zahid akan berlangsung selama tujuh minggu, berakhir pada Disember dengan Sabah dan Kelantan sebagai dua lokasi terakhirnya. – 25 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan