Langsung: Tuduhan baru terhadap Najib, Irwan dan bekas ketua perisik
Iklan
PENDAKWAAN jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak diteruskan hari ini, bersama bekas ketua setiausaha perbendaharaan negara Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Dua individu yang memegang jawatan dalam firma pelaburan negara bermasalah 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di bawah kerajaan terdahulu akan didakwa dengan pecah amanah jenayah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Mereka dipanggil untuk disoal siasat di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Laporan media menyebut sumber SPRM mengatakan mereka disoal berhubung berbilion ringgit yang diselewengkan daripada program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan dana yang disatukan kerajaan untuk menampung hutang besar 1MDB.
Mereka juga disoal berhubung urusan niaga 1MDB dengan syarikat pelaburan Abu Dhabi International Investment Company (Ipic).
Najib dijangka berdepan enam tuduhan tambahan, menjadikan jumlah pertuduhan terhadapnya kepada 38.
Beliau sebelum ini didakwa dengan 32 tuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram wang dan penyalahgunaan kuasa melibatkan RM2.6 bilion yang didakwa daripada 1MDB tetapi dipertahankan oleh beliau sebagai derma dari Arab Saudi, dan RM42 juta daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International .
Juga berdepan pendakwaan hari ini adalah individu yang mempunyai kaitan rapat dengan Najib, bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah Abdul Hamid, yang mengetuai unit rahsia di Jabatan Perdana Menteri.
Beliau akan dikenakan pertuduhan secara berasingan dengan pecah amanah jenayah berhubung dana bernilai AS$12 juta (RM49.91 juta) yang didakwa diseludup masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum pilihan raya 9 Mei.
Beliau dan lapan pegawai risikan lain ditahan reman selama beberapa hari selepas SPRM merampas AS$6.3 juta dari beberapa lokasi. Jumlah terbesar, AS$4.07 juta, ditemui di kondominium sewa di Cyberjaya.
The Malaysian Insight membawa perkembangan terkini secara langsung dari mahkamah Kuala Lumpur:
12:01pm: Bekas pegawai khas kepada Najib Razak, Isham Jalil menjelaskan, kekurangan penyokong hari ini berikutan maklumat mengenai Najib dan Irwan lambat diberikan iaitu petang semalam.
Namun, berita mengenai pertuduhan ke atas Najib, Irwan dan Hasanah hari ini sudah pun dilaporkan dengan meluas sejak semalam.
Tambah beliau, kerajaan juga melanggar kedaulatan undang-undang kerana memberikan kertas pertuduhan kepada kedua-dua defendan dan peguam mereka sejam sebelum perbicaraan bermula.
11.59am: Azman menetapkan ikat jamin RM500,000 dengan dua penjamin, perlu dibayar hari ini.
Hasanah juga perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.
Persidangan mahkamah ditangguhkan.
11.57am: Pendakwa raya diketuai Gopal Sri Ram berkata justifikasi ikat jamin RM1 juta itu kerana beliau didakwa menyelewengkan AS$12.1 juta walaupun hanya satu pertuduhan.
11.50am: Shahrudin berkata anak guamnya tidak pernah didakwa dan beliau akan hadir semua prosiding di mahkamah.
Katanya, anak guamnya hanya dikenakan satu pertuduhan pecah amanah.
11.45am: Meminta wang ikat jamin sebanyak RM300,000, Shaharudin berkata kesalahan Hasanah tidak sebesar kes 1MDB, menegaskan selepas beliau dibebaskan daripada tahanan, Hasanah tidak melarikan diri tetapi tetap berada di Selangor.
11.40am: Hasanah menuntut dibicarakan. Peguam Shaharudin berhujah terhadap ikat jamin RM1 juta yang dicadangkan oleh pendakwa utama Gopal yang juga meminta pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
11.37am: Ketua perisik Hasanah berada di kandang tertunduh. Pertuduhan dibacakan.
11.28am: Hakim memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar RM500,000 hari ini dengan baki selebihnya dalam masa 10 hari. Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 29 November.
11.22am: Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azman Ahmad menetapkan wang jaminan sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh. Irwan diminta menyerahkan pasportnya.
11.05am: Ketua pendakwa Gopal berhujah bahawa jaminan bagi pendakwaan sebelum ini terhadap Najib berbeza dengan hari ini. Bagi Irwan, Gopal berkata beliau mendapat faedah daripada kepimpinan Najib.
“Beliau (Irwan) dibayar lumayan dan saya akan mengatakan ia terlalu banyak. Jenayahnya amat berat kerana beliau adalah pemegang amanah bagi salah satu institusi tertinggi. Hakikatnya, tuduhan terhadap beliau di mahkamah ini sangat serius.”
10.59am: Kumaraendran menyimpulkan dengan meminta jaminan RM500,000 dan mengatakan ia mencukupi untuk memastikan Irwan hadir di mahkamah.
“Jumlah yang lebih daripada itu adalah satu tindakan punitif. Irwan tidak mendapat faedah daripada dana itu. Beliau menjalankan tugasnya demi kepentingan negara.”
10.57am: Kumaraendran membacakan beberapa anugerah peringkat negeri dan negara yang diberikan kepada Irwan selama ini.
10.50am: Kumaraendran memberitahu mahkamah: “Anak guam saya adalah penjawat awam yang berdedikasi selama 20 tahun. Beliau tidak dapat mengumpulkan jumlah tersebut. Beliau akan menderita di penjara. Seseorang tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah. Jaminan tidak harus menjadi punitif, tetapi hanya untuk memastikan kehadiran terdakwa di mahkamah.”
10.44am: Peguam Kumaraendran mula bercakap bagi pihak Irwan, memberitahu hakim yang intipati utama jaminan adalah untuk memastikan kehadiran dan jaminan tidak perlu berlebihan, sambil menambah bekas ketua setiausaha perbendaharaan negara itu bukanlah berisiko melarikan diri.
10.43am: Shafee menamatkan hujahnya dengan mengatakan Najib adalah bekas menteri besar Pahang, bekas timbalan perdana menteri dan perdana menteri serta ahli Parlimen yang berkhidmat untuk Pekan. Justeru, beliau tidak mungkin akan melarikan diri daripada perbicaraan.
10.32am: Shafee menambah semua akaun bank Najib dibekukan.
“Ia mengurangkan risiko beliau melarikan dengan kepada sifar. Dan untuk menaikkan jumlah jaminan adalah penindasan. Ia seperti meminta peninju bertarung dengan tangan terikat.”
10.31am: Shafee menggesa mahkamah untuk melepaskan Najib dan tidak menetapkan jumlah jaminan tetapi mendapatkan tandatangan yang kes ini tertakluk kepada kaveat seperti ditetapkan mahkamah terdahulu dan RM4.5 juta akan dirampas jika beliau melanggarnya.
“RM4.5 juta adalah jumlah yang tidak pernah ditetapkan dalam sejarah Malaysia.”
10.24am: Shafee berhujah Najib sudah menyerahkan diri kepada polis dan kuantum jaminan tidak seharusnya lebih tinggi. Beliau menambah pasport Najib juga sudah diserahkan, dan oleh itu tiada risiko melarikan diri.
“Anak guam saya bukan seseorang yang akan melarikan diri. Beliau menghadiri setiap notis yang diserahkan kepadanya, seperti yang dikehendaki oleh SPRM (untuk penyiasatan mereka).”
10.21am: Shafee mencadangkan ikat jamin keseluruhan RM4.5 juta yang sudah diserahkan Najib setakat ini bagi kes hari ini.
10.20am: Shafee menyatakan Najib sudah membayar ikat jamin RM1 juta bagi tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah serta jaminan tambahan sebanyak RM3.5 juta bagi 25 tuduhan pengubahan wang haram.
“Kriterianya adalah untuk memastikan beliau (Najib) hadir. Ia tidak boleh menjadi tindakan punitif. Ia tidak boleh menjadi penindasan.”
10.10am: Pendakwa utama Gopal Sri Ram meminta mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM3 juta bagi setiap tertuduh.
10.07am: Zahid meninggalkan kompleks mahkamah.
10.06am: Najib dan Irwan dikenakan enam pertuduhan. Mereka menuntut perbicaraan bagi kesemua enam pertuduhan yang mengambil pendaftar mahkamah masa enam minit untuk membacanya.
10.03am: Pendaftar Mahkamah mula membaca pertuduhan kepada Najib dan Irwan serentak. Kedua-duanya kelihatan tenang. Mereka menuntut perbicaraan bagi pertuduhan pertama.
10.01am: Mahkamah kembali bersidang.
10.00am: Najib dan Irwan kini mengambil tempat di dalam kandang tertuduh. Mereka berdua berbual perlahan.
9.46am: Seorang anggota Majlis Tertinggi Umno yang sedang minum di kafeteria mahkamah berkata, mereka tidak mengarahkan ahli parti untuk memberi sokongan kepada bekas presiden mereka hari ini.
“Sesiapa sahaja boleh datang jika mereka ada masa, jika mereka tiada masa hari ini, mereka tidak perlu datang,” katanya.
9.42am: Pasukan undang-undang Najib terdiri daripada tujuh peguam yang diketuai Shafee, bersama Harvinderjit Singh, Farhan Read, Wan Aizuddin, Rahmat Hazlan, Muhammad Farhan Shafee dan Syahirah Hanapiah.
9.40am: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman dan pelakon Ellie Suriaty tiba di kompleks mahkamah bagi menunjukkan sokongan kepada Najib.
9.20am: Najib, Irwan dan Hasanah belum memasuki bilik perbicaraan. Mereka masih berada di bilik saksi di sebelah bilik mahkamah.
9.19am: Shafee meminta mahkamah berhenti sebentar sekurang-kurangnya 30 minit kerana beliau baru sahaja menerima salinan pertuduhan dan berkata memerlukan masa untuk meneliti pertuduhan dengan pasukan peguamnya. Permintaannya itu tidak dibantah oleh Sri Ram.
Azman kemudian memerintahkan mahkamah berhenti seketika.
9.04am: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi juga dilihat hadir di bangunan kompleks mahkamah untuk memberi sokongan kepada bekas ketuanya, Najib Razak
8.46am: Pendakwa raya khas Gopal Sri Ram tiba di mahkamah dan akan mengetuai pasukan pendakwaan.
8.40am: Shaharudin Ali mengetuai pasukan peguam Hasanah, kata Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, yang juga merupakan seorang daripada peguam pasukan pembela.
8.35am: Peguam Irwan, K Kumaraedran dan Geetham Ram tiba di mahkamah. Najib, Irwan dan Hasanah akan dituduh di mahkamah yang sama, dipengerusikan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azman Ahmad.
Hasanah diwakili peguam Shaharudin Ali, Mohd Khairul Azam dan Imran Khairi Osman.
8.30am: Hasanah Abdul Hamid tiba melalui pintu belakang.
8.22am: Najib Razak tiba dengan menaiki kereta Perdana berwarna hitam. Najib menyapa para wartawan dengan ucapan “selamat pagi” dan apabila disoal keadaannya, beliau menjawab “saya baik”.
8.15am: Mohd Irwan Serigar Abdullah tiba di perkarangan kompleks mahkamah diiringi polis dan beberapa pegawai SPRM. – 25 Oktober, 2018.