Iklan

Ikat jamin RM1 juta setiap seorang kepada Najib dan Irwan

The Malaysian Insight6 years ago25th Oct 2018Berita
Najib razak 251018 tmiseth 01
Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di perkarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, diiringi beberapa pegawai SPRM. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Oktober, 2018.
Iklan

NAJIB Razak dan Mohd Irwan Serigar Abdullah dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1 juta bagi setiap seorang selepas dikenakan dengan enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.63 bilion.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azman Ahmad mengenakan ikat jamin dengan dua penjamin bagi kedua-duanya dan memerintahkan Irwan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Azman juga mengarahkan mereka membayar RM500,000 hari ini dengan bakinya diselesaikan dalam masa 10 hari.

Anak lelaki dan menantu lelaki Irwan bertindak sebagai penjaminnya.

Pertuduhan itu, ada kaitan dengan dana dikaitkan kepada syarikat pelaburan negara yang bermasalah, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dan jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan penjara 120 tahun, jika hukuman tidak dijalankan serentak, serta denda.

Pertuduhan hari ini menjadikan Najib kini berdepan 38 pertuduhan.

Bekas menteri kewangan itu sebelum ini didakwa 32 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan RM2.6 bilion yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB, di mana beliau mendakwa ia derma dari Arab Saudi, dan RM42 juta lagi daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International. – 25 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan