Iklan

Menteri kena rancang jadual, elak ponteng sesi Parlimen

Yasmin Ramlan6 years ago25th Oct 2018Berita
Rmk 11 181018 tmiseth 03
Timbalan Speaker Rashid Hasnon menasihatkan menteri dan timbalan menteri supaya merancang jadual dengan lebih baik supaya dapat mengelakkan ketidakhadiran sewaktu sesi soal jawab di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2018.
Iklan

TIMBALAN Speaker Rashid Hasnon menasihatkan menteri dan timbalan menteri supaya merancang jadual dengan lebih baik supaya dapat mengelakkan ketidakhadiran sewaktu sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

“Saya tahu menteri, timbalan menteri sibuk, saya tahu ada jadual yang waktu bila ada Dewan terutamanya dalam Dewan bersidang.

“Bagi pihak Parlimen, minta pentadbiran menteri disiplin untuk hadir sebagaimana diaturkan. Kalau menteri tak dapat hadir, timbalan menteri kena hadir dalam sidang Dewan Rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan dari Wee Ka Siong (Ayer Hitam-MCA) yang mengkritik ketidakhadiran menteri ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Wee mempersoalkan ketidakhadiran menteri dan timbalan menteri dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika Tuan Ali Anak Biju (PKR - Saratok) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan status dan perancangan pihak kementerian berkenaan dengan keperluan pembinaan baru Ibu Pejabat Polis (IPD) Saratok bagi mengganti ibu pejabat polis sekarang yang telah beroperasi sejak tahun 1954 pada soalan  ke-13.

Wee berkata beliau faham sekiranya Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin tidak hadir atas sebab kesihatan, namun ketidakhadiran timbalannya, Azis Jamman tidak boleh diterima.

Soalan itu bagaimanapun dijawab oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Radzi Jidin.

Rashid menjelaskan, soalan boleh dijawab oleh menteri atau timbalan menteri dari kementerian lain seperti yang dinyatakan dalam Peraturan Mesyuarat Seksyen 24.

“Cuma saya akan maklumkan pada Speaker, memang ini perkara biasa boleh dijawab oleh mana-mana menteri.

“Memang benar mana-mana wakil menteri KDN, dan timbalan menteri tak ada untuk soalan hari ini, kami nak percepatkan dan banyakkan soalan lisan jadi ada empat Ahli Parlimen tak datang hari ini. Jadi, soalan sampai ke (nombor) 12 hingga 13,” katanya.

Sementara itu, Wee meminta supaya Speaker membuat peraturan untuk mendisiplinkan menteri dan timbalan menteri sebagai tanda menghormati Dewan Rakyat. 

“Saya berasa terkejut kerana soalan sampai ke-13 tiada wakil dari kementerian yang jawab. Saya tahu bahawa menteri-menteri kurang sihat (Muhyiddin), tiada masalah tapi sekurangnya mesti ada timbalan yang menjawab soalan.

“Sebab itulah saya menggunakan peraturan mesyuarat 21(1) a iaitu pertanyaan-pertanyaan boleh diarahkan kepada menteri-menteri berkenaan dengan hal-hal yang dalam pengurusan jawatan mereka.

“Apa yang berlaku tadi sangat menakjubkan dan menyedihkan kita sebab saya melihat mereka tidak bersedia (kerana) mereka mungkin tidak menjangkakan bahawa soalan sampai nombor ke-13 dan 14. Ini yang dikatakan tidak membuat persiapan rapi,” katanya.  – 25 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan