Kenyataan pakar USM berhubung tragedi tanah runtuh tidak tepat, kata jurutera
Iklan
JURUTERA Perunding GEA (M) Sdn Bhd untuk Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyifatkan kenyataan pakar tanah runtuh dan hakisan tanah dari Universiti Sains Malaysia (USM) berhubung kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus sebagai ‘tidak tepat’.
Dalam satu kenyataan dua perenggan hari ini, pihak perunding itu berkata kenyataan Profesor Habibah Lateh yang dilaporkan media pada awal minggu ini sebagai tidak tepat.
“Beliau tidak mempunyai maklumat kajian dan perincian kerja yang dijalankan di lokasi (tanah runtuh),” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun GEA tidak menyatakan sebab kenyataan Habibah itu sebagai tidak tepat.
Malah pihak tersebut tidak memberi maklumat berhubung kajian dan perincian kerja di lokasi pembinaan itu.
Tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus yang berlaku pada Jumaat lalu mengorbankan sembilan pekerja asing.
Kejadian itu berlaku di projek pembinaan jalan oleh MBPP
Pada Selasa, Habibah berkata tanah pasir dipercayai digunakan untuk projek di cerun bukit itu.
“Tanah di situ jenis longgar. Jika melihat pada jenis tanah yang digunakan untuk menambus lereng bukit itu, ia adalah tanah pasir. Ianya tidak kukuh.
“Anda perlu gunakan tanah yang sesuai bagi kerja-kerja sedemikian iaitu tanah yang kukuh, kuat dan bersesuaian. Jurutera juga perlu ke tapak pembinaan bagi memantau kerja yang dijalankan,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi tanah runtuh itu.
Beliau mengadakan lawatan itu sebagai tujuan akademik bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). – 25 Oktober, 2018.