Iklan

Azis Jamman perjelas sebab tidak hadir ke Parlimen

Yasmin Ramlan6 years ago25th Oct 2018Berita
Iklan

AZIS Jamman tampil menjelaskan ketidakhadiran Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dan beliau sendiri selaku timbalan menteri pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini disebabkan mereka berdua berada di Putrajaya untuk merasmikan program Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menurut Azis, pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menjangkakan soalan yang diajukan kepada kementeriannya iaitu nombor 13 sempat untuk diajukan dalam sesi soal jawab. 

“Tak (sangka), sebab sebelum ini paling banyak 10 (soalan) dan kebetulan tadi ada acara rasmi di kementerian yang dihadiri menteri.

“(Kita) sudah maklumkan kepada Setiausaha Dewan, dan seperti yang kita sebut ia (merupakan) masalah teknikal dan memang kita mengakui ada sedikit masalah di sana.

“Saya dah beritahu pegawai saya supaya bersiap sedia dari segi jawapan. Pegawai-pegawai kita dah sedia sebab itu jawapan diberikan kepada Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

“Tadi kebetulan kita ada program rasmi di kementerian, pemberian kewarganegaraan dan lain-lain, yang mana kewarganegeraan ini diberikan oleh Tan Sri (Muhyiddin Yassin),” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai aduan Wee Ka Siong (Ayer Hitam - MCA) yang mengkritik ketidakhadiran menteri dan timbalan menteri KDN ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu hari ini, Wee mempersoalkan ketidakhadiran menteri dan timbalan menteri dari Kementerian Dalam Negeri ketika Tuan Ali Anak Biju (PKR - Saratok) minta Menteri Dalam Negeri menyatakan apakah status dan perancangan pihak kementerian berkenaan dengan keperluan pembinaan baru Ibu Pejabat Polis (IPD) Saratok bagi mengganti ibu pejabat polis sekarang yang telah beroperasi sejak tahun 1954 pada soalan nombor 13.

Wee berkata beliau faham sekiranya Muhyiddin tidak hadir atas sebab kesihatan, namun ketidakhadiran timbalannya tidak boleh diterima.

Soalan yang diajukan kepada KDN itu sempat ditanya memandangkan empat ahli Parlimen tidak hadir ke Dewan Rakyat yang menyebabkan soalan tersebut dilangkau sehingga soalan nombor 13. – 25 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan