Pelan pengangkutan perlu diteruskan, kata ketua menteri Pulau Pinang
Iklan
KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengakui tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus menambah kebimbangan berhubung tahap keselamatan terhadap pembangunan lereng bukit tetapi menegaskan Pelan Induk Pengangkutan Jalan (PIP) “mesti diteruskan” jika rakyat inginkan peningkatan produktiviti dan kualiti hidup.
Menyifatkan tekanan terhadap PIP yang semakin meningkat sebagai “halangan sementara”, Chow berkata kerajaan akan meningkatkan usaha memberi keyakinan kepada orang ramai yang semua langkah keselamatan dan pertimbangan dinilai dengan teliti bagi projek pengangkutan.
Jumaat lepas, tanah runtuh di Bukit Kukus mengorbankan sembilan nyawa buruh warga asing. Kebanyakan mangsa dipercayai berada di dalam kontena yang terletak di lereng bukit ketika ia runtuh.
Tragedi itu berlaku hampir setahun selepas kejadian sama di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, yang membunuh 11 orang pekerja, dan mencetuskan desakan oleh ahli alam sekitar dan kumpulan masyarakat sivil terhadap kerajaan negeri untuk menghentikan semua pembangunan di lereng bukit.
“Perkara biasa terdapat rasa tidak puas hati selepas insiden serius seperti ini yang mengorbankan banyak nyawa dan sangat dikesali,” kata Chow dalam kenyataan bagi menjawab pertanyaan The Malaysian Insight.
“Justeru, bagi PIP kita perlu meningkatkan pendidikan dan kesedaran dengan penekanan terhadap isu semasa dan memberi jaminan yang semua risiko sudah dikenal pasti dan dinilai dengan langkah mitigasi yang ada,” katanya.
PIP adalah pelan pengangkutan awam bersepadu yang komprehensif bagi menangani masalah trafik yang semakin buruk di Pulau Pinang.
Komponen utama pelan induk ini mencadangkan sistem transit rel ringan (LRT), dan Pan Island Link 1 (PIL1) lebuh raya sepanjang 19.5km dari Persiaran Gurney di utara hingga ke Sungai Ara di selatan.
Sebanyak 70% lebuh raya akan melalui terowong di Bukit Bendera, Paya Terubong dan Sungai Ara, yang mencetuskan kebimbangan kerja-kerja meletupkan bukit akan menyebabkan bahaya kepada alam sekitar dan mengancam sumber asli pulau itu.
Chow bagaimanapun percaya penduduk Pulau Pinang menghargai “keperluan kritikal untuk PIP dilancarkan” dan menegaskan kerajaan tidak akan mengalah untuk memastikan usaha terhadap rancangan itu diteruskan.
Beliau berjanji untuk memastikan semua kelulusan dan penyeliaan berkaitan PIP akan diletakkan di bawah pengawasan lebih ketat, sambil menambah kerajaan negeri juga akan mengadakan sesi pertemuan awam yang lebih agresif bagi mengurangkan kebimbangan dengan isu keselamatan.
“Oleh itu, kelulusan dan pengawasan daripada pihak berkuasa yang berkaitan akan dibuat lebih ketat.
“Sudah pasti, penglibatan kami dengan pihak berkepentingan dan orang ramai akan dipergiatkan,” kata Chow dalam kenyataan itu. – 26 Oktober, 2018.