Iklan

Selepas Najib puji PAS, Hadi kongsi gambar bersama pemimpin PKR

Amin Iskandar7 years ago13th Aug 2017Berita
Fb hadi
Gambar yang disiarkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang (dua dari kiri) yang menerima kunjungan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali (dua dari kanan) dan Naib Presiden PKR Dr Shaharuddin Badaruddin (kiri). – Gambar Facebook, 13 Ogos, 2017.
Iklan

TIDAK berapa lama selepas Najib Razak memuji PAS kerana mengamalkan politik matang, Abdul Hadi Awang menyiarkan gambar pertemuannya dengan pemimpin kanan PKR melalui akaun Facebooknya malam tadi.

Hadi menerima kunjungan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Dr Shaharuddin Badaruddin.

“Menerima kunjungan ziarah oleh pimpinan PKR pada malam ini di Kuala Lumpur,” tulis Hadi di laman Facebook rasminya malam tadi.

Azmin yang juga menteri besar Selangor turut berkongsi gambar sama melalui akaun Twitter rasminya.

“Sebentar tadi menemani YB @drwanazizah dan @pmshahar menziarahi YB Tuan Guru Ustaz Haji Hadi Awang yang sedang berehat selepas pembedahan,” tulis Azmin di akaun Twitter @azminali malam tadi.

Semalam Perdana Menteri Najib berkata, yang PAS kini mengamalkan politik matang dan konstruktif tidak lagi membuat serangan semberono terhadap sesuatu isu.

Beliau berkata PAS mengamalkan prinsip “tabbayun” iaitu parti melakukan siasatan terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan atau keputusan terhadap sesuatu isu.

“Dalam hal isu 1MDB (1Malaysia Development Bhd) dia (PAS) panggil (Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB) Arul Kanda (Kandasamy) dan selepas penjelasan Arul Kanda, baru dia buat pendirian dia.

“Pendirian dia ialah memahami yang kita perlu beri peluang kepada 1MDB untuk melaksanakan pelan rasionalisasinya dan apabila berjaya nanti bererti masalah 1MDB boleh selesai,” katanya.

PAS pada Mei lalu secara rasminya memutuskan hubungan dengan PKR. Bagaimanapun, PAS masih lagi bersama dalam kerajaan Selangor yang dipimpin PKR.

PAS juga tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Pertemuan pemimpin PKR dan Hadi malam tadi menimbulkan spekulasi apakah kedua-dua parti itu masih akan bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. – 13 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan