Anwar paling banyak langgar peraturan di PRK Port Dickson
Iklan
BADAN pemantau pilihan raya Bersih 2.0 mengenal pasti 10 kesalahan besar dilakukan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson baru-baru ini.
Sejumlah besar kesalahan itu dilakukan oleh bakal presiden PKR Anwar Ibrahim yang memenangi PRK itu dengan majoriti 23,560 undi.
Antara enam kesalahan Anwar yang dikenal pasti ialah cadangan tuisyen percuma, konsert percuma di depan bilik operasinya, makan dianjurkan untuknya dan penampilannya pada program tentera bersama Menteri Pertahanan Mohammad Sabu.
Terdapat empat kesalahan dilakukan oleh PAS iaitu termasuk memberi hadiah cabutan bertuah, pemberian kek bulan dan bah kut teh percuma.
Pengarah Eksekutif Bersih 2.0 Yap Swee Seng berkata parti politik terutama parti pemerintah sepatutnya mengambil langkah berjaga-jaga berkenaan perkara pilihan raya, contohnya penampilan menteri.
“Menteri sepatutnya neutral. Aset kerajaan milik rakyat. Mereka sepatutnya berkhidmat untuk semua dan bukannya satu parti saja.
“Perlu ada pengasingan kuasa tentang fungsi kerajaan dan aktiviti parti politik. Perlu ada pentadbiran yang neutral,” katanya pada sidang media hari ini.
Yap berkata Bersih 2.0 akan membentangkan laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkan tindakan selanjutnya diambil.
“Kami akan melancarkan laporan ini kepada SPR. Jadi kita biar SPR mempertimbangkan untuk tindakan sewajarnya,” katanya.
Bagaimanapun katanya, SPRM pada masa ini tidak ada kuasa untuk menyiasat dan mendakwa.
“Salah satu penyelesaiannya ialah untuk SPR diberikan kuasa menyiasat,” katanya, menambah hanya polis ada kuasa untuk menyiasat kesalahan pilihan raya.
Bersih juga mendesak SPR menyediakan garis panduan jelas tentang kempen pilihan raya bagi mengelak sistem itu disalahgunakan oleh parti politik.
“Ada keperluan garis panduan dikeluarkan tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan.
“Salah satu cadangan kami ialah menyediakan garis panduan kempen pilihan raya,” kata Yap.
Pada masa sama Bersih turut memuji SPR kerana proaktif dalam PRK itu terutama dengan pengerusinya yang baharu, Azhar Harun turut turun padang.
Anwar menerima 31,016 undi, sementara pesaing terdekatnya, calon PAS Mohd Nazari Mokhtar, menerima 7,456 undi.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan Isa Samad, yang bertanding atas tiket bebas di tempat ketiga dengan 4,203 undi.
Empat lagi calon bebas termasuk bekas pegawai khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan, Lau Seck Yan dan Kan Chee Yuen hilang wang deposit. – 26 Oktober, 2018.