Penang Forum mahu terlibat dalam siasatan Bukit Kukus
Iklan
PENANG Forum, kumpulan masyarakat sivil paling lantang menentang keputusan kerajaan negeri untuk membina lebih banyak jalan raya dan meneruskan pembangunan lereng bukit, menuntut sebuah siasatan awam dilakukan berkaitan tragedi maut tanah runtuh Bukit Kukus.
Kumpulan itu juga mahu menyertai mana-mana siasatan dilakukan kerajaan negeri atau persekutuan terhadap kejadian tanah runtuh di Paya Terubong, Bukit Kukus itu.
Wakil Penang Forum Khoo Salma Nasution juga meminta pihak berkuasa melantik sekurang-kurangnya dua ahli mereka- seorang jurutera dan seorang peguam- ke dalam panel tersebut.
Katanya, Penang Hills Watch daripada Penang Forum yang selama ini berulang kali memberi amaran kepada pihak berkuasa mengenai bahaya penggondolan bukit juga perlu dijemput sebagai pemerhati dan ia perlu dilakukan secara terbuka.
“Demi kepentingan ketelusan, ahli suruhanjaya juga tidak wajar tertakluk kepada undang-undang kerahsiaan.
“Semua minit dan nota (siasatan) perlu didedahkan kepada awam oleh pihak berkuasa,” katanya pagi tadi pada perhimpunan solidariti kepada mangsa maut tanah runtuh di depan bangunan Majlis Bandaraya.
Jumaat lalu, tanah runtuh di projek milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membunuh sembilan orang pekerja asing.
Sejak tragedi itu, barulah terbongkar yang sumber air disekat di bukit itu tanpa proses sepatutnya dan wujud ketidakpatuhan terhadap kawalan hakisan dan kemendapan.
Pasukan Tindakan Khas Ops Lumpur ditubuhkan kerajaan negeri menemui ketidakpatuhan itu awal bulan ini. – 26 Oktober, 2018.