Iklan

Kumpulan awam gesa hukuman maksimum untuk cegah kecuaian, korban

Looi Sue-Chern6 years ago26th Oct 2018Berita
Dsc 3759
Khoo Salma Nasution daripada Penang Forum berucap semasa mereka membuat bantahan terhadap projek pembangunan di depan Dewan Bandaraya George Town hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 26 Oktober, 2018.
Iklan

PIHAK berkuasa harus mengenakan hukuman maksimum sebagai langkah pencegahan untuk menghalang “kehilangan nyawa yang tidak perlu di masa depan”, kata ahli kumpulan awam Penang Forum.

Gesaan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Sesyen George Town pada Rabu yang mendenda kontraktor utama projek apartmen dilanda kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah tahun lepas sebanyak RM35,000 sebagai ganti kepada hukuman penjara dua tahun.

Kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan pada 21 Oktober lepas membunuh 11 pekerja termasuk penyelia tapak warga tempatan.

Kontraktor mengaku bersalah di bawah Seksyen 15 (2) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 kerana gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya di tapak pembinaan itu.

Kesalahan ini dikenakan denda tidak melebihi RM50,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Disebabkan kelemahan dalam akta itu, pemaju belum didakwa,” kata ahli Penang Forum, Khoo Salma Nasution.

“Malah, pemaju boleh didakwa di bawah Seksyen 71 Akta Perparitan dan Bangunan Jalan.”

Undang-undang ini menetapkan kegagalan pembinaan atau kerja tanah, semasa atau setelah pembinaan selesai, di mana punca kegagalan tersebut disebabkan oleh salah pembinaan atau kurang pengawasan semasa pembinaan, penalti maksimum adalah RM500,000 atau 10 tahun penjara.

Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah, Meenakshi Raman berkata kontraktor itu sepatutnya menerima penalti maksimum terhadap kematian pekerja.

“Undang-undang OSHA membenarkan denda maksimum RM50,000 dan penjara, tetapi syarikat itu hanya didenda RM35,000,” katanya.

Tragedi maut tanah runtuh kini menjadi topik hangat di Pulau Pinang selepas satu lagi kejadian pada Jumaat lepas membunuh sembilan pekerja asing.

Kejadian terbaru berlaku di Bukit Kukus di Paya Terubong, lokasi pembinaan lebuh raya berkembar sedang dibina. Majlis Bandar Pulau Pinang adalah pemilik projek.

Meenakshi, yang juga setiausaha kehormat Sahabat Alam Malaysia, mempersoalkan mengapa isu ini tidak dibahaskan di Parlimen.

“Siapa yang bercakap untuk mereka ini dan ketidakadilan setakat ini?” katanya.

Salma dan Meenakshi adalah antara 50 orang yang berkumpul di depan Dewan Bandaraya untuk menunjukkan solidariti terhadap mangsa dalam dua kejadian tanah runtuh itu.

Majlis bandar raya mengadakan mesyuarat majlis penuh di Dewan Bandaraya.

Ketika diminta mengulas mengenai denda RM35,000, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia adalah keputusan mahkamah.

“Mahkamah mempunyai kuasa untuk memutuskan penalti mengikut undang-undang,” katanya kepada pemberita di acara berasingan hari ini. – 26 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan