Iklan

Setakat kita tahu RM2.6 bilion adalah dana 1MDB, kata Dr Mahathir 

Mohd Farhan DarwisKamles Kumar6 years ago27th Oct 2018Berita
Bersatu press conference 04
Dr Mahathir mengulas tentang kenyataan Najib yang menegaskan pendirian bahawa derma RM2.6 bilion daripada Arab Saudi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 27 Oktober, 2018.
Iklan

Bukti dokumen transaksi menunjukkan dana RM2.6 bilion yang diterima Najib Razak adalah daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bukannya kerajaan Arab Saudi, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Bersatu itu berkata Najib, yang juga bekas perdana menteri perlu membuktikan kenyataannya bahawa dana itu diterima daripada kerajaan negara tersebut.

“Kalau mereka katakan dana daripada Arab Saudi, tunjukkan rekod transaksi, kalau bukan dari Arab Saudi, kita perlu cari dari mana datangnya, setakat yang kita tahu, ia datang dari 1MDB.

“Apa yang penting bukti dokumen menunjukkan duit itu datang daripada 1MDB atau Arab Saudi, pemindahan duit yang besar seperti itu tidak boleh dilakukan tanpa rekod transaksi,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, malam tadi.

Najib hari ini sekali lagi menegaskan pendirian beliau bahawa dana itu diterima sumbangan daripada kerajaan Arab Saudi.

Kenyataan terbaharu Najib itu dimuat naik di laman Facebook miliknya bagi menjawab kenyataan Menteri Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir yang menafikan wang itu datang daripada Riyadh.

Najib berkata beliau sudah menjelaskan isu derma itu pada bulan lalu dengan disertakan gambar surat dan slip transaksi bank yang menunjukkan wang itu daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi dan beliau memulangkannya semula empat bulan kemudian.

Najib Razak mempertahankan pendiriannya sebelum ini yang mengatakan derma RM2.6 bilion diperoleh daripada Arab Saudi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2018.

“Walaupun sebelum ini Menteri Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir pernah dua kali dengan mulut sendiri mengesahkan bahawa negara Arab Saudi yang menderma wang kepada saya, Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah mendakwa bahawa hari ini Adel memberitahu dia wang yang disebut RM2.6 bilion tidak ada kaitan dengan kerajaan Arab Saudi.

“Ini ialah hantaran mengenai penjelasan saya bulan lepas di mana saya telah memberi bukti bahawa semua surat-surat dari penderma ialah dari orang yang sama.

“Di hantaran itu, saya turut menunjukkan bukti dokumen-dokumen dari bank yang membuktikan bahawa kebanyakan dana-dana yang disalurkan kepada akaun saya ialah terus dari Kementerian Kewangan Kerajaan Arab Saudi dan dari putera-putera Arab Saudi,” tulisnya.

Beliau turut berkongsikan entri bertarikh 13 September yang menunjukkan gambar sepucuk surat bertarikh 1 Mac 2013 daripada Putera Abdulaziz Al-Saud yang menyatakan pemberian wang sebanyak AS$800,000 secara berperingkat kepada Najib.

Dalam surat itu, putera berkenaan turut menyatakan wang tersebut akan disalurkan kepada Najib sama ada melalui akaun peribadi beliau sendiri atau akaun lain termasuk Tanore Finance Corp..

“Hampir semua dari dana yang disebut RM2.6 bilion ini sudah dikembalikan kepada sumber yang menyalurkan 4 bulan selepas diterima.

“Saya pun telah didakwa kerana menerima dana ini dan juga didakwa kerana mengembalikannya,” katanya. – 27 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan