Iklan

Buat laporan polis jika ada pihak lain terlibat, kata PM kepada Najib

Kamles KumarMohd Farhan Darwis6 years ago27th Oct 2018Berita
Iklan

NAJIB Razak disaran membuat laporan polis jika beliau merasakan terdapat pihak luar yang terlibat dalam skandal 1Malaysian Development Bhd (1MDB) selain Low Taek Jho, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir Mohamad berkata, ini kerana kerajaan pimpinannya tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang melakukan jenayah dan memberikan kesan kepada Malaysia.

“Baiklah, suruh beliau (Najib) buat laporan dan kita akan kejar mereka,” kata pengerusi Bersatu itu ketika sidang media, di Ibu Pejabat Bersatu di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya malam tadi.

“Sukar untuk ambil tindakan kepada mereka yang berada di luar negara, tetapi jika mereka lakukan jenayah di Malaysia, menjejaskan Malaysia atau duit Malaysia, mereka datang ke Malaysia, kita akan tangkap,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, walaupun ia melibatkan hubungan diplomatik antara negara, jenayah perlu dihukum.

“Hubungan diplomatik itu perkara lain yang perlu kita tangani tetapi jenayah tetap jenayah,” kata Dr Mahathir. 

Terdahulu, dalam wawancara eksklusif bersama Al Jazeera,  Najib meminta pihak berkuasa menyiasat beberapa lagi individu asing yang dipercayai terlibat skandal penyelewengan dana 1MDB dan tidak hanya tertumpu kepada Jho Low.

“Baik…biarkan mereka menjalankan tugas tetapi jangan terhenti setakat Jho Low. Siasat juga individu lain kerana mungkin terdapat mereka yang terlibat. Mereka juga perlu disiasat.

“Kita mahu mengetahui ke mana aliran duit itu. Dan siapa yang meraih untung daripada isu 1MDB ini. Saya juga ingin tahu,” katanya kepada wartawan Al Jazeera Mary Ann Jolley.

Najib berkata demikian bagi menjawab soalan Mary Ann mengenai enam siasatan yang dijalankan di seluruh dunia berhubung skandal rasuah 1MDB. – 27 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan