Akademi kriket harap keajaiban daripada kementerian sukan untuk elak ditutup
Iklan
PUSAT latihan kriket Akademi Oval Kinrara di Puchong berharap legasinya menjadi tuan rumah pelbagai kejohanan antarabangsa sejak 15 tahun yang lalu mampu menyelamatkannya daripada ditutup dan tapaknya digantikan dengan satu lagi projek pembangunan.
Masa depannya tidak menentu sekarang, susulan kenyataan umum pemaju Perumahan Kinrara Berhad atau Kinrara Housing Bhd (PKB) semalam yang menuntut pengembalian tanah selaras dengan perjanjian sewa dibuat dengan Persatuan Kriket Malaysia (MCA) 15 tahun yang lalu .
MCA sebagai penyelenggara kawasan, diberikan notis kira-kira sebulan lalu untuk mengosongkan premis tersebut pada 31 Oktober, apabila kontrak dengan PKR tamat.
Semalam, PKB mengulangi semula yang MCA tahu tapak itu sentiasa diperuntukkan untuk pembangunan. Ia juga berkata MCA memiliki “sejumlah besar” sewa yang tidak berbayar kepada PKB.
Tetapi Presiden MCA, Mahinda Vallipuram mendakwa tapak itu adalah sebuah taman sebelum ia menjadi tempat kriket, dan berharap ruang itu akan dikekalkan sebagai tapak terbuka dan bukannya dibina semula dengan projek pembangunan baru.
“Pilihan kami adalah untuk kekal di sini, kami tetap positif. Saya harap kita dapat mencari penyelesaian untuk kekal di sini. Ini adalah tanah berkelas dunia.
“Tanah ini adalah kerja keras kita dengan darah dan air mata. Ia pastinya sesuatu yang menyedihkan jika ia berlaku tetapi kami yakin hasilnya akan baik,” kata Mahinda kepada The Malaysian Insight dalam temu bual.
Persatuan itu kini merayu kepada PKB melalui Kementerian Belia dan Sukan untuk membenarkan mereka di sana.
Mahinda berkata badan kriket itu sudah melabur hampir RM10 juta bagi Kinrara Oval.
Ia mempunyai kapasiti 5, 000 tempat duduk dan padangnya memenuhi piawaian kejohanan antarabangsa dengan sistem saliran yang baik untuk menampung musim monsun dan ribut petir di Malaysia.
Padang ini menjadi tempat pasukan kriket lelaki dan wanita negara serta juga menganjurkan Sukan Sea ke-29 tahun lepas.
Pasukan kriket lelaki Malaysia berada di tangga ke-27 dunia dan pasukan wanita berada di kedudukan ke-31.
Tapak itu kini adalah tanah utama dan berhampiran stesen LRT Bandar Kinrara 5 yang baru dibina termasuk pusat komersial dan kondominium yang bakal dibina.
Menurut beberapa sumber, terdapat rancangan untuk menjadikan tapak padang kriket itu kondominium dan kompleks membeli-belah.
Tanah kini dimiliki oleh sebuah syarikat subsidiari I&P Group Sdn Bhd.
I&P Group kini dimiliki oleh pemaju SP Setia Bhd. Permodalan Nasional Berhad (PNB) mempunyai kepentingan pegangan 55.93% di dalam SP Setia.
Menariknya, penaung MCA Tunku Imran Tuanku Jaafar pernah menjadi pengerusi kumpulan Island & Peninsular Bhd, yang kini membentuk kumpulan I&P dengan dua syarikat lain di bawah PNB.
Mahinda berkata MCA bertemu dengan pemaju pada April dan perbincangan ketika itu dilihat sebagai “positif”.
Namun, PKB masih menyampaikan notis untuk mengosongkan tanah kira-kira sebulan lalu.
Peminat kriket terkejut dengan berita pengusiran dan protes kecil diatur minggu lalu untuk menuntut perjanjian dengan PKB diundur.
Bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin turut menyuarakan keprihatinan persatuan kriket di Twitter dan turut “tag” menteri semasa Syed Saddiq Abdul Rahman dalam postingnya.
Khairy, ahli Parlimen Rembau, berkata beliau sudah menulis dua surat kepada PNB semasa berkhidmat untuk menyelesaikan perkara itu, yang kemudian dikatakan oleh Syed Saiddiq daripada kerajaan baru akan berhubung lanjut dengan PNB.
Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), bagaimanapun, awal bulan ini berkata ia tidak boleh campur tangan dalam perkara itu kerana tidak mempunyai bidang kuasa ke atas tanah yang dimiliki oleh pemaju.
Bagaimanapun, Kementerian Belia dan Sukan masih mencuba, dengan timbalan menteri Steven Sim berkata beliau akan melihat dari segi semua sudut termasuk kemungkinan isu berkaitan status tanah tapak.
“Mungkin ini berlaku kerana pada masa lalu seseorang tidak mematuhi peraturan. Kami tidak menolak elemen penipuan. Hal berhubung status tanah ini perlu dijelaskan,” kata Sim.
Beliau juga berkata kementerian akan cuba meminta moratorium untuk membenarkan MCA terus menggunakan tapak selepas 1 November. – 27 Oktober, 2018.