Iklan

Amanah tiada masalah PKR bertemu Hadi, tapi... 

Amin Iskandar7 years ago13th Aug 2017Berita
Salahuddin ayub party amanah nagara pc 04
Kata Salahuddin Ayub, sikap hormat-menghormati antara parti-parti politik adalah sesuatu yang baik dan perlu dikekalkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2017.
Iklan

AMANAH tiada masalah dengan pertemuan antara pemimpin PKR dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, kata Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub. 

Katanya, sikap hormat-menghormati antara parti-parti politik adalah sesuatu yang baik dan perlu dikekalkan. 

“Tak ada masalah (mereka) bertemu. Saya harap setiap parti dapat kekalkan semangat hormat-menghormati. 

“Saya harap selepas ini parti-parti politik tidak mencaci maki parti lain, tidak kafir mengkafirkan parti lain,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Salahuddin tidak menyebut parti yang beliau maksudkan namun dilihat merujuk kepada sesetengah pihak dalam PAS yang terus-menerus mengecam bekas rakan separti yang sudah menyertai Amanah.

Hadi malam tadi menyiarkan sekeping gambar pertemuannya dengan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Shaharuddin Badaruddin. 

“Menerima kunjungan ziarah oleh pimpinan PKR pada malam ini di Kuala Lumpur,” tulis Hadi di laman Facebook rasminya malam tadi. 

Dr Wan Azizah dan Azmin turut menyiarkan gambar pertemuan dengan Hadi di akaun Facebook masing-masing. 

Amanah adalah parti serpihan PAS yang terbentuk selepas krisis dalaman parti Islam itu menonjolkan penguasaan golongan ulama dan sekaligus menyingkirkan golongan profesional dan berpegangan sederhana, menguburkan Pakatan Rakyat. 

Ia kemudian bergabung dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum disertai oleh Bersatu. 

PAS tidak bekerjasama dengan PH sebaliknya menubuhkan satu lagi gabungan pembangkang dengan nama Gagasan Sejahtera Rakyat yang dijadual dilancarkan September ini. 

Azmin dalam pada itu menjelaskan pertemuan dengan Hadi itu hanya satu “ziarah orang sakit” dan tidak kena mengena dengan politik. 

Spekulasi seputar foto pertemuan itu timbul selepas Azmin semalam mengatakan kesediaan PKR berunding dengan PAS untuk PRU14 biarpun parti Islam itu tidak membentuk kerjasama dengan PH. 

Langkah itu jelas Azmin penting supaya parti-parti pembangkang tidak bertembung sesama sendiri dalam pilihan raya nanti. 

Naib presiden PKR Shaharuddin Baharuddin juga menafikan pertemuan itu ada kaitan dengan pelantikan Azmin sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan. 

“Tiada langsung cerita politik. Hanya cerita mengenai kesihatan, bertanya khabar dan sebagainya,” katanya. 

Salahuddin berkata, Amanah sejak dahulu lagi konsisten dan bersedia untuk bekerjasama dengan parti-parti politik lain untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN). 

“Sejak dari awal penubuhannya, Amanah terbuka untuk bekerjasama dengan parti-parti politik lain, cuba semak balik kenyataan-kenyataan saya dulu. 

“Cuma sesetengah ‘parti’ saja yang tutup pintu untuk bekerjasama,” katanya. 

Salahuddin berkata, apa yang penting sekarang semua parti-parti politik perlu konsisten untuk membela rakyat yang terbeban disebabkan skandal 1MDB dan cukai barang dan perkhidmatan (GST). 

“Yang paling penting kita perlu konsisten menentang BN. 

“Rakyat terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi,” kata bekas ahli Parlimen Kubang Kerian selama dua penggal itu. – 13 Ogos, 2017.

Iklan
Iklan