Iklan

Tiada harga siling untuk tiket penerbangan domestik, kata kementerian pengangkutan

Kamles Kumar6 years ago29th Oct 2018Berita
Pkr election 050818 tmiseth 07
Timbalan menteri pengangkutan Kamaruddin Jaafar berkata kerajaan memberi amaran kepada syarikat penerbangan untuk meningkatkan penerbangan pada musim perayaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2018
Iklan

PUTRAJAYA tidak akan melaksanakan sekatan ke atas harga tiket penerbangan domestik buat masa ini, kata Kamaruddin Jaafar. 

Timbalan menteri pengangkutan itu berharap syarikat penerbangan akan lebih munasabah dan tidak memanipulasi harga tiket pada musim perayaan. 

“Kerajaan tidak akan melaksanakan sebarang harga siling dan lantai untuk penerbangan domestik bagi mengelakkan sebarang manipulasi harga oleh syarikat penerbangan, yang mana purata harga menjadi semakin tinggi walaupun pada bukan musim puncak sekiranya ia dilaksanakan,” kata Kamaruddin di Dewan Rakyat hari ini. 

“Sekiranya penerbangan pada musim perayaan meningkat, kami percaya harga tiket akan lebih murah,” tambah Kamaruddin. 

Pemimpin PKR itu juga berkata kerajaan sudah mengadakan rundingan dengan pengendali syarikat penerbangan untuk menetapkan harga “dipacu pasaran” berbanding kadar terlalu tinggi.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu menambah, syarikat penerbangan juga perlu bersetuju meningkatkan penerbangan sehingga 20% pada musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Gawai dan Pesta Kaamatan. 

Kamaruddin berkata kerajaan Pakatan Harapan sudah mengadakan rundingan dengan pengendali terlibat termasuk lapangan terbang dan pemandu teksi dalam usaha untuk memenuhi keperluan kebanjiran penumpang. 

Sehubungan dengan itu, kerajaan akan mendapatan sokongan daripada pengendali lapangan terbang, perkhidmatan lapangan, ERL dan teksi untuk meningkatkan perkhidmatan mereka dalam tempoh tujuh hari,” katanya. 

Timbalan menteri itu juga berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) bertanggungjawab menetapkan peraturan harga dan sekiranya ia gagal, kementerian tidak akan teragak-agak untuk menetapkan harga. 

“Sekiranya langkah ini gagal mengawal harga, kerajaan akan pertimbangkan untuk melaksanakan harga siling dan lantai,” kata Kamaruddin. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini berkata, tiada harga siling ditetapkan untuk tiket penerbangan ada musim perayaan namun memberi amaran kepada pengendali untuk meningkatkan penerbangan.  – 29 Oktober, 2018

Iklan
Iklan