Iklan

Elak kerusi terbang, wartawan bebas cedera

Amin Iskandar7 years ago13th Aug 2017Berita
Wartawanbebas
Radzi Razak, wartawan yang membuat liputan untuk Asia Times cedera ringan dalam kekecohan forum "Nothing To Hide 2.0" sebentar tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Ogos, 2017.
Iklan

WARTAWAN bebas yang membuat liputan forum “Nothing To Hide 2.0” di Shah Alam antara yang cedera dalam kekecohan menyebabkan majlis itu ditamatkan serta-merta.

Radzi Razak, 32, yang membuat liputan bagi Asia Times tercedera akibat terjatuh selepas cuba mengelak kerusi “berterbangan”.

“Saya cedera waktu elak kerusi yang dilempar semasa kekecohan berlaku. Tapi kecederaan tak begitu teruk,” kata Radzi ketika dihubungi oleh The Malaysian Insight.

Radzi dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan pesakit luar.

Radzi berkata beliau nampak salah seorang individu melemparkan suar tetapi tidak kenal identitinya.

“Saya sempat rakam video. Budak itu pakai baju merah jambu,” katanya, menambah individu itu kemudiannya berlari ke arah suar yang dilemparkannya itu.

Forum anjuran Pemuda Bersatu itu platform yang sepatutnya menemukan Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Najib Razak untuk berdebat tentang isu yang menyelubungi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib bagaimanapun tidak hadir dan pada waktu sama sedang merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Masjid Tanah, Melaka.

Forum yang padanya awalnya berlangsung dengan aman bertukar kecoh apabila ada peserta melemparkan kasut dan membaling suar ke tengah hadirin.

Forum yang bermula pada jam 4 petang itu bertukar jadi tidak terkawal ketika Dr Mahathir sedang menjawab soalan peserta mengenai peristiwa Memali.

Bagaimanapun Dr Mahathir dan isteri Dr Siti Hasmah Mohamed Ali tidak mengalami sebarang kecederaan.

Seorang saksi kejadian, Izmil Amri berkata sebelum kekecohan berlaku, keadaan bising apabila Dr Mahathir mula menjawab soalan.

“Lepas tu botol air terbang, kasut terbang, kerusi terbang dan suar dilemparkan,” katanya.

Pengarang Roketkini itu berkata suar dilemparkan ke kawasan petugas media dan keadaan bertukar menjadi kelam kabut.

“Jadi keadaan kelam kabut nak padamkan suar itu, mungkin pada ketika itu Radzi tercedera,” katanya. – 13 Ogos, 2017.

 


 

Iklan
Iklan