Iklan

Siasatan tanah runtuh Bukit Kukus mungkin ambil masa sebulan

Looi Sue-Chern6 years ago29th Oct 2018Berita
Landslide penang-david
Kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak pembinaan jalan raya di Paya Terubong pada 19 Oktober itu meragut sembilan nyawa pekerja asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2018.
Iklan

SIASATAN yang dijalankan oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan Pulau Pinang tubuhkan bagi menyiasat tanah runtuh di Paya Terubong mungkin akan mengambil masa sebulan untuk siap.

Pengerusinya, Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata jawatankuasa itu mahu memulakan kerja secepat yang mungkin minggu ini.

“Saya tak boleh beri janji, tetapi harapnya kami dapat keluarkan hasil dapatan dalam masa lebih kurang sebulan,” beliau memberitahu pemberita selepas merasmikan satu seminar mengenai LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) di Kompleks Masyarakat Penyayang hari ini.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku di tapak pembinaan jalan raya di Paya Terubong pada 19 Oktober itu meragut sembilan nyawa pekerja asing. Ia merupakan kejadian kedua dalam tempoh dua tahun, yang mengorbankan nyawa di Pulau Pinang, sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan masyarakat.

Penang Forum, sebuah gabungan kumpulan sivil di Pulau Pinang telah meminta kerajaan negeri menyertakan dua wakilnya dalam mana-mana panel peringkat negeri atau Persekutuan yang menyiasat kejadian tersebut.

Apabila ditanya sama ada beliau akan menyertakan anggota masyarakat awam Pulau Pinang ke dalam jawatankuasa khas berkenaan, Zakiyuddin berkata jawatankuasa itu bukanlah sebuah suruhanjaya siasatan.

“Jawatankuasa ini akan menjemput sesiapa sahaja yang boleh bantu kami membuktikan fakta kejadian tersebut. Tetapi kami bukanlah suruhanjaya siasatan.

“Tugas jawatankuasa hanyalah menasihati exco neegri. Pada masa ini, kerajaan mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak dan menghadapi kesukaran untuk mengambil tindakan seterusnya atau menyatakan pendirian.

“Jadi kami akan siasat, buat kesimpulan dan menasihati exco supaya dapat bertindak dengan sewajarnya. anda kena faham skop jawatankuasa.”

Jawatankuasa itu turut dianggotai oleh Exco Kerja Awam Zairil Khir Johari, seorang jurutera dari pejabat setiausaha negeri dan wakil-wakil dari Institut Kejuruteraan Malaysia negeri. – 29 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan