Iklan

Pendidikan di Malaysia 'hampir percuma', kata Maszlee

Kamles Kumar6 years ago29th Oct 2018Berita
Maszlee malik tmi 03
Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata pendidikan sekolah rendah dan menengah diberi percuma oleh kerajaan dan pelajar hanya perlu membayar sebanyak 10% daripada kos operasi bagi universiti awam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2018.
Iklan

PENDIDIKAN Malaysia “hampir percuma” kecuali sedikit bayaran bagi pengajian tinggi, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Maszlee berkata pendidikan sekolah rendah dan menengah diberi percuma oleh kerajaan dan pelajar hanya perlu membayar sebanyak 10% daripada kos operasi bagi universiti awam. 

Ini menjadikan sistem pendidikan di negara ini secara praktikalnya percuma, katanya.

“Pendidikan peringkat rendah dan menengah kerajaan adalah percuma. Pengajian tinggi juga hampir percuma yang mana pelajar hanya perlu membayar 10% daripada kos operasi.

“Ini bermakna semua pelajar universiti awam menerima subsidi 90% dari kerajaan,” kata Maszlee dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol Salim Sharif (Umno) yang bertanyakan mengenai rancangan menjadikan pendidikan di Malaysia percuma bagi menangani kos sara hidup.

Kerajaan juga kata beliau, membantu pelajar universiti mendapatkan biasiswa dan pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kos 10% itu juga ditanggung kerajaan menerusi biasiswa dan secara tidak langsung menerusi PTPTN. Pembayaran balik juga boleh dirunding mengikut kemampuan peminjam.”

Jelas ahli Parlimen Simpang Renggam itu, biasiswa juga diberikan oleh badan seperti Mara, Petronas, Bank Negara Malaysia dan Khazanah Malaysia.

Kerajaaan katanya tidak merancang untuk menaikkan yuran universiti pada masa depan.

Dalam manifestonya, Pakatan Harapan (PH) berjanji untuk menjadikan pendidikan negara ini percuma.

PH tidak memansuhkan yuran mahupun pinjaman PTPTN seperti yang dijanjikan. – 29 Oktober, 2018.

Iklan
Iklan