Anwar dakwa tidak lakukan kesalahan di PRK Port Dickson
Iklan
AHLI Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim berkata beliau tidak melakukan sebarang kesalahan pilihan raya semasa kempen pilihan raya kecil walaupun pemantau pilihan raya Bersih 2.0 menamakannya sebagai pelaku kesalahan paling utama.
Beliau berkata beliau mengalu-alukan kritikan Bersih tetapi menafikan bahawa beliau melakukan sebarang kesalahan.
“Saya alu-alukan kritikan mereka dan kita perlu lihat secara khusus apa (kesalahan) itu.
“Saya dijemput hadir (dalam beberapa acara), jadi saya tidak tahu apa salah saya,” kata Anwar kepada pemberita ketika ditemui di Parlimen hari ini.
Bersih mengeluarkan laporan minggu lepas yang mendakwa Anwar melakukan enam kesalahanan daripada 10 kesalahan pilihan raya yang dikenal pasti di Port Dickson. Empat lagi dilakukan calon PAS Mohd Nazari Mokhtar.
Antara enam kesalahan Anwar yang dikenal pasti, termasuk pengumuman tuisyen percuma, konsert percuma di pusat operasinya, dan juga majlis makan malam untuk beliau dan penampilannya di acara tentera dengan dihadiri Menteri Pertahanan Mohammad Sabu.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau “dijemput oleh rakan-rakan” untuk majlis makan malam dan menyalahkan penganjur kerana tidak menjemput calon lain.
“Saya dijemput. Persoalan mengapa calon lain tidak dijemput, anda perlu bertanya kepada mereka (penganjur),” kata Anwar.
Bagaimanapun, Anwar yang kini berusia 71 tahun itu berkata beliau belum secara rasmi memberi respon terhadap Bersih, di samping menambah bahawa beliau akan memberikan alasan untuk semua dakwaan salah lakunya.
“Mereka tidak meminta pandangan saya, saya juga tidak memberi jawapan saya. Mereka telah bentangkan pemerhatian mereka, dan saya rasa kita perlu teliti dan menjawabnya dengan betul, “kata Anwar.
Anwar menerima 31,016 undi dalam pilihanraya 13 Oktober lalu, manakala pesaing terdekatnya, Mohd Nazari Mokhtar (PAS) menerima 7,456 undi.
Bekas Menteri Besar Negri Sembilan, Isa Samad, yang bertanding sebagai calon bebas, menduduki tempat ketiga dengan 4,203 undi dan kehilangan deposit.
Empat calon lain, termasuk bekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari Azlan, Stevie Chan, Lau Seck Yan dan Kan Chee Yuen, semuanya kehilangan deposit pilihan raya mereka. – 29 Oktober, 2018.